top of page

Liga Juara-Juara Wanita AFC: 2 pemain skuad bolasepak wanita kebangsaan, 3 pemain import, perkuatkan skuad Sabah FA

nabalunews

27 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Dua pemain skuad bola sepak wanita kebangsaan dan 3 pemain import membantu memperkuatkan pasukan bola sepak wanita Sabah FA yang akan memulakan saingan pusingan awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (ACWL) di Stadium Likas, malam esok.


Kapten skuad bolasepak wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur bersama seorang lagi pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli atau lebih dikenali sebagai Intan Serah adalah antara pemain yang dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan Sabah FA.


Info X melaporkan pada sidang media bersama Ketua Jurulatih, Justin Ganai, baru-baru ini, Steffi menyatakan komitmennya untuk memastikan Sabah FA melakar keputusan yang positif meskipun sedar cabaran besar yang perlu ditempuhi.


Jelasnya, walau apapun cabaran, sebagai pemain mereka perlu menunjukkan persembahan terbaik, lebih-lebih lagi ia adalah perlawanan tahap tertinggi yang julung kali disertai pasukan bola sepak negara.


“Sebagai pemain, yang penting adalah menunjukkan satu persembahan yang baik kerana ini adalah tahap tertinggi untuk bola sepak wanita Malaysia yang mana Sabah FA mewakili Malaysia di Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024 / 2025.


“Jadi bagi saya ini adalah satu peluang yang bagus dan saya bersama pemain-pemain yang lain, kita semua akan masuk ke dalam permainan pada 28 Ogos ini dengan penuh semangat dan akan memberikan 100 peratus, malah lebih lagi demi kemenangan pasukan.


“Kita memang mahu menang untuk menjadi ‘top’ kerana dalam perlawanan kumpulan ini hanya yang berada di atas layak ke pusingan seterusnya,” katanya.


Sabah FA bakal berdepan APF FC dari Nepal di Stadium Likas, bermula jam 8 malam esok, sebelum disusuli perlawanan kedua menentang PFC Nasaf dari Uzbekistan pada 31 Ogos ini.


Kelmarin, PFC Nasaf memenangi perlawanan pertama pusingan awal ACWL setelah menewaskan APF FC 1-0.


Steffi berkata, walaupun tempoh latihan terlalu singkat setelah baru seminggu tiba di Kota Kinabalu untuk membantu Sabah FA, ia bukan alasan untuk memberikan persembahan terbaik mereka.


Beliau mengakui, persediaan yang baik memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga minggu latihan bersama pasukan bagi memahami corak permainan masing-masing dan mendapatkan keserasian dalam pasukan.


“Tapi itu bukan satu alasan, bagi saya kita mesti kena cari jalan untuk mengatasi cabaran ini dalam beberapa hari latihan singkat sebelum perlawanan untuk membina pasukan yang baik.


“Seperti saya katakan, ini adalah perlawanan tahap yang tinggi untuk pasukan bola sepak wanita Malaysia, jadi saya fikir bukan saya saja, malah semua pemain seluruh Malaysia menunggu untuk menyaksikan perlawanan ini,” katanya.


Katanya, sebagai pemain bola sepak wanita negara, mereka juga mahu memanfaatkan perlawanan peringkat AFC itu untuk menimba pengalaman.


Atas sebab itu, katanya beliau dan semua pemain akan berusaha memberikan persembahan yang terbaik sepanjang kejohanan bola sepak wanita AFC yang julung kali disertai pasukan dari Malaysia.


Selain Steffi dan Intan Serah, Sabah FA turut membawa masuk tiga pemain import bagi menguatkan pasukan iaitu Eri Narita dan Misaki Nakayama dari Jepun serta seorang lagi, Win Theingi Tun dari Myanmar.


Sabah FA juga mendapat khidmat penjaga gol wanita nombor satu Malaysia, Nurul Azurin Mazlan.

Comments


bottom of page