top of page
  • nabalunews

Liga Juara-Juara Wanita AFC: Ketua Menteri ajak peminat bola sepak beri sokongan padu kepada Sumandak Sabah

28 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengajak peminat bola sepak Sabah dan orang ramai untuk menyaksikan perlawanan pusingan awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas, malam ini di mana pasukan Sabah FA berdepan APF FC Dari Nepal.


Menerusi perkongsian di laman Facebook beliau, Hajiji mahu orang ramai memberi sokongan padu kepada pasukan bola sepak wanita Sabah FA yang mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa itu.


“Malam ini merupakan perlawanan pertama Sumandak-Sumandak Sabah dalam kejohanan AFC Women’s Champions League di Stadium Likas.


“Pasukan bolasepak wanita Sabah merupakan wakil Malaysia dalam kejohanan ini yang tergolong dalam 20 pasukan terbaik Asia.


“Ayuh kita ramai-ramai turun ke Stadium Likas dan memberi sokongan padu kepada mereka menentang APF FC Dari Nepal!,” katanya.


Perlawanan antara pasukan bolasepak wanita Sabah berdepan APF FC dari Nepal dijadual bermula jam 8 malam ini.


Perlawanan kedua Sabah menentang PFC Nasaf dari Uzbekistan dijadualkan pada Sabtu ini.


Kedua-dua lawan Sabah itu bukan calang-calang.


APF FC dari Nepal adalah juara liga wanita Nepal musim 2023 dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga musim manakala PFC Nasaf dari Uzbekistan adalah juara liga wanita Uzbekistan musim lalu yang juga kejuaraan kelima dalam sejarah kelab itu.


Sabah menjadi wakil pertama Malaysia selepas muncul juara Liga Wanita Nasional musim 2023.


Sabah pastinya akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri sebagai penyuntik semangat untuk memberikan saingan.

Comments


bottom of page