Liga Juara-Juara Wanita AFC: Sumandak Sabah kutip satu mata

29 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Sabah FA berjaya mengikat APF FC dari Nepal dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi Kumpulan C pusingan awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas, malam tadi.
Meskipun berdepan serangan bertali arus lawan, aksi cemerlang penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan berjaya mematahkan semua cubaan berbahaya APF FC, sekali gus memaksa pasukan pelawat berkongsi satu mata dengan Sabah FA.
Nurul Azurin terpaksa bekerja keras mempertahankan gawang Sabah di sepanjang 90 minit permainan, bermula seawal minit pertama lagi.
Sekurang-kurangnya empat atau lima serangan berbahaya pasukan lawan berjaya diselamatkan Nurul Azurin.
Perlawanan malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dalam hujan lebat sepanjang babak pertama, menyebabkan banyak gerakan tersekat.
Skuad Sabah FA banyak terlepas bola berikutan keadaan bola dan padang yang licin, sekali gus merencatkan usaha tuan rumah untuk menggempur kubu lawan.
Berikutan keputusan itu, Sabah FA terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan apabila berdepan dengan PFC Nasaf dari Uzbekistan pada perlawanan kedua, Sabtu ini.
PFC Nasaf memulakan kempen kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC dengan langkah kanan apabila menewaskan APF FC 1-0 di Stadium Likas 26 Ogos lalu.
Comments