Liga Super: Sabah pungut 3 mata penuh di Perak
20 Oktober 2024
LUMUT: Sabah memungut 3 mata penuh apabila menumpaskan Perak FC 4-2 dalam perlawanan bolasepak Liga Super di Stadium Manjung di sini, semalam.
Kejayaan di gelanggang lawan ini turut merencatkan rentak tiga kemenangan berturut-turut Perak FC sebelum ini.
Pasukan tuan rumah, Perak mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Luciano Guaycochea pada pada minit ke-30 selepas dia dijatuhkan di hadapan pintu gol Sabah.
Kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan Sabah FC, Kwang Min Ko, merembat deras bola dari luar kotak penalti yang menerjah masuk ke penjuru kanan gawang Perak pada minit ke-39 untuk Sabah mengikat kedudukan 1-1.
Sabah mendahului permainan apabila pemain kebangsaan, Stuart Wilkin menjaringkan gol pada minit ke-44 menerusi sepakan dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Perak FC, Muhammad Haziq Nadzli.
Clayton Da Silveira kembali menggamatkan penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru Luciano pada minit ke-49 untuk jaringan penyamaan.
Sabah kembali mendahului permainan apabila Joao Pedro merembat masuk bola selepas menerima hantaran cantik daripada Gabriel Schmegel pada minit ke-83.
Sabah terus menambah derita Perak apabila Miguel Angel Garrido menjaringkan gol keempat pada minit ke-88.
Comments