LIVERPOOL TEWAS 1-3 KEPADA LEICESTER CITYLIVERPOOL TEWAS 1-3 KEPADA LEICESTER CITY
top of page
  • nabalunews

LIVERPOOL TEWAS 1-3 KEPADA LEICESTER CITY


Alisson kecewa setelah melakukan satu lagi kesilapan

14 FEB 2021


LEICESTER: Kesilapan penjaga gol Liverpool, Alisson, memberikan peluang kepada Leicester City untuk bangkit setelah ketinggalan satu gol untuk memperoleh kemenangan 3-1 pada perlawanan semalam.


Liverpool kini mengalami kekalahan tiga kali berturut-turut dalam persaingan Liga Perdana Inggeris sekali gus menamatkan impian untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada musim lalu.

Ia merupakan satu lagi persembahan hambar Liverpool, yang kelihatan mengawal permainan setelah mendahului melalui jaringan gol Mohamed Salah, tetapi kesilapan minit akhir pasukan kendalian Jurgen Klopp menyebabkan gawang mereka dibolosi tiga kali dalam tempoh tujuh minit sebelum tamat permainan.


James Maddison, Jamie Vardy dan Harvey Barnes masing-masing menjaringkan gol bagi Leicester ketika Liverpool kalah dalam perlawanan tersebut, iaitu kalah tiga kali berturut-turut buat pertama kalinya sejak November 2014 sewaktu mereka dikendalikan bos Leicester Brendan Rodgers.


Sekali lagi, Alisson menjadi tumpuan apabila melakukan kesilapan yang membolehkan Vardy menjaringkan gol kedua Leicester, seminggu setelah kesilapannya menewaskan Liverpool untuk menentang Manchester City.

Dengan Manchester United yang tidak beraksi hingga Ahad, Leicester melonjak ke tangga kedua liga, sementara Liverpool menduduki tempat keempat, ketinggalan 13 mata dari pendahulu Man City.


Liverpool terpaksa melakukan perubahan pada bahagian pertahanan kerana Fabinho yang beraksi cemerlang di bek pertahanan untuk perlawanan sebelumnya telah mengalami kecederaan. Pemain baharu Ozan Kabak yang dipinjam dari Schalke pada Januari lepas diberikan peluang untuk beraksi pertama kalinya bagi menggantikan Fabinho.


"Gol kedua Leicester tercetus akibat salah faham permain" kata Klopp kepada BT Sport.


"Alisson bermain dengan cemerlang sepanjang perlawanan itu tetapi ketika dia keluar dari gawang untuk mengambil bola, saya tidak mendengarnya berteriak. Salah faham antaranya dengan Kabak memberi peluang kepada Leicester untuk menjaringkan gol.


“Jelas bahawa pasukan kami mendominasi perlawanan tersebut. Kami mempunyai banyak peluang tetapi pada minit terakhir kami melepaskan dua gol dengan mudah”.


Isu kecederaan terus menimpa Liverpool setelah James Milner dikeluarkan dari padang pada awal permainan. - Reuters


bottom of page