top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

MA63: Donald persoal kedudukan istimewa Sabah, Sarawak dikurangkan



6 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KUALA LUMPUR: Kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak telah dikurangkan melalui pentafsiran diskriminatif Perlembagaan Malaysia, kata Senator Datuk Donald Peter Mojuntin.


Beliau berkata, sebagai contoh, isu kontroversial berkaitan Akta Wilayah Laut 2012 (Territorial Sea Act 2012) yang mengurangkan sempadan laut Sabah dan Sarawak ke hanya 3 batu nautika dari pantai.


“Persoalannya, memandangkan Akta ini melibatkan pengubahan sempadan, adakah Perkara 2(b), Perlembagaan Malaysia dipatuhi sebelum ia mendapat kelulusan di Parlimen?,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.


Donald berkata, implikasi pengurangan sempadan laut sangat drastik dan negatif kepada Sabah dan Sarawak.


“Ia menyebabkan hak-hak Sabah dan Sarawak untuk menangkap ikan, marin dan sumber mineral, tapak-tapak pelancongan dalam kawasan marin dan sebagainya kini hanya dalam lingkungan tiga batu nautika (5.56km) dari pantai.


“Perkara 2(b) Perlembagaan Malaysia menyatakan Parlimen boleh, melalui undang-undang, mengubah sempadan mana-mana negeri, tetapi undang undang tersebut tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu dan Majlis Raja-Raja,” katanya.


Beliau berkata, mengubah sempadan Sabah memerlukan suara majoriti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).


“Setahu saya, tiada persidangan DUN Sabah yang meluluskan perubahan sempadan air Sabah berkait dengan Akta Wilayah 2012.


“Jika ini benar, bukankah ini bermakna Akta Wilayah 2012 ini "null and void" kerana melanggar Perlembagaan Malaysia?,” katanya.


Selain itu katanya, kedudukan istimewa Sabah juga dikurangkan kerana obligasi-obligasi Kerajaaan Persekutuan tidak ditunaikan di bawah Perlembagaan Malaysia.


Sebagai contoh utama katanya, mengikut Perkara 11, di bawah 20 Perkara Sabah, Perenggan 24(8) IGC Report, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perkara 112C (1) serta Bahagian IV Perenggan 2(1) Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Malaysia, Sabah berhak untuk menerima 40 peratus hasil bersih daripada hasil pendapatan yang diperolehi oleh Persekutuan daripada negeri ini.


“Mengikut Perlembagaan jumlah 40 peratus itu adalah pendapatan tetap Sabah. Ia berbeza dengan dana pembangunan yang disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dalam setiap pembentangan bajet persekutuan.


“Pendapatan Persekutuan dari Sabsh ini termasuk cukai pendapatan peribadi dan korporat, GST atau SST, duti kastam, pendapatan minyak yang diambil oleh Petronas, kutipan oleh semua jabatan dan agensi Persekutuan seperti JPJ, Imigresen, JPN, saman lalu lintas, denda mahkamah dan lain-lain.


“Pendapatan ini juga termasuk pendapatan yang dikumpulkan dari syarikat minyak antarabangsa dan perladangan dan syarikat lain yang menjana wang dari operasi di Sabah tetapi membayar cukai mereka di Semenanjung Malaysia atau Sarawak,” katanya.


Donald berkata, jumlah keseluruhan 40 peratus seharusnya diberi kepada Sabah setiap tahun sejak tahun 1963 lagi.


“Bilakah komitmen ini akan dilaksanakan? Bagaimana pula dengan tunggakan yang belum dibayar?,” tanyanya.


Beliau berkata, dalam memastikan Sabah dan Sarawak dapat mengawal kemasukan orang daripada negeri-negeri lain di Malaysia, kedua-dua negeri itu diberi kuasa imigresen di bawah Perkara 9(2), Perkara 161B, Perkara 161E Perlembagaan Malaysia dan Bahagian VII Akta Imigresen.


Bagaimanapun katanya, hak dalam Perlembagaan itu tidak melindungi Sabah dengan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada negara-negara jiran yang sudah mencecah 1 juta orang di negeri itu.


“Ini telah menjejaskan fabrik sosial, ekonomi, kesihatan dan keselamatan di Sabah.


“Bidang kuasa untuk memerangi masalah PATI dan mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara terletak di tangan Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Senarai 1, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Malaysia.


“Apakah rancangan dan tindakan Kerajaan Persekutuan kini untuk mendapat penyelesaian tuntas kepada masalah yang sudah menghantui Sabah lebih daripada 4 dekad ini?,” tanya Donald.


Katanya lagi, di bawah Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, rakyat anak negeri di Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan istimewa yang sama dengan kaum Melayu di Semenanjung Malaysia.


“Bagaimanapun realitinya adalah Perkara 153 tidak dikuatkuasakan untuk anak negeri di Sabah dan Sarawak seperti "affirmative action" yang dilaksanakan untuk kaum Melayu di Semenanjung.


“Kebanyakan kaum anak-anak negeri di Sabah dan Sarawak masih lagi dalam belenggu kemiskinan dan menghadapi masalah sosio-ekonomi.


“Apakah rancangan "affirmative action" Kerajaan untuk membantu mereka ini?,” kata Donald.


Comments


bottom of page