Madius cadang penyelesaian masalah empat kategori pendatang asing di Sabah
top of page
  • Farah Salim

Madius cadang penyelesaian masalah empat kategori pendatang asing di Sabah


19 Julai 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Madius Tangau mencadangkan supaya masalah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah diselesaikan mengikut empat kategori secara berasingan dan hendaklah dilaksanakan segera demi mencapai penyelesaian tuntas.


Beliau berkata, empat kategori itu ialah PATI memiliki kad pengenalan yang diragui, Stateless Children, Pelarian Perang Filipina dan PATI


“Menurut laporan Institute for Development Studies (IDS) Sabah, daripada 3.9 juta penduduk Sabah, 1.2 juta adalah Orang Asing.


“Walaupun Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Mengenai Kebanjiran PATI di Sabah telah dibentangkan di Parlimen namun pelaksanaan setiap rekomendasi di dalamnya sangat lemah justeru masalah itu di Sabah masih berterusan,” katanya ketika menyampaikan usul dalam Kamar Khas, di Parlimen hari ini.


Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, bagi menyelesaikan kategori 1, beliau mencadangkan agar kad pengenalan (IC) yang ada sekarang diganti dengan IC baru bercirikan digital.


“Hanya pemilik IC yang memiliki Sijil Kelahiran sahaja yang layak dapat IC baru tersebut,” katanya dan menambah ini adalah bagi menyelesaikan satu juta PATI yang memiliki IC yang diragui.


Beliau berkata, pada tahun 1961 penduduk Sarawak ialah 744,529 orang manakala penduduk Sabah pada masa yang sama hanyalah 454,421 orang.


“Pada tahun 1970, penduduk Sarawak iaitu 976,269 orang masih mengatasi penduduk Sabah iaitu 651,304 orang.


“Namun setibanya tahun 2020 penduduk Sabah iaitu 3.90 juta merupakan 1 juta orang lebih ramai berbanding Sarawak iaitu hanya 2.9 juta.


“Laporan RCI Mengenai Kebanjiran PATI di Sabah memberi bukti-bukti kukuh bahawa pemberian Kad Pengenalan kepada warga asing melalui salah guna kuasa dan rasuah menyebabkan pertumbuhan penduduk luar biasa di Sabah. Ada yang dirancang dan ada yang mendapat IC secara rasuah.


“Hakikatnya lebih 1 juta penduduk di Sabah yang memegang Kad Pengenalan yang diragui adalah satu masalah sosial yang mesti ditangani secara tuntas,” katanya.


Bagi kategori dua pula, Madius mencadangkan agar satu pendataan dibuat terhadap kategori Stateless Children dan seterusnya diselesaikan mengikut kes ke kes.


“Terdapat ribuan kanak-kanak di Sabah yang berstatus stateless akibat daripada perkahwinan rambang sesama PATI dan di antara PATI dengan orang tempatan. Kehadiran mereka di Sabah mengakibatkan pelbagai masalah sosial. Tuaran mencadangkan agar satu pendataan dibuat terhadap kategori ini dan seterusnya diselesaikan mengikut kes ke kes,” katanya.


Bagi pelarian perang Filipina pula, Madius mencadangkan agar pendataan dibuat terhadap pelarian perang Filipina yang berada di Sabah supaya dan seterusnya memberi dokumen IMM13 secara individu kepada setiap pelarian termasuk anak-anak mereka.


“Selepas setahun pemberian, dokumen tersebut jangan lagi diperbaharui dan hantarlah mereka balik ke negara asal atau ke negara ketiga,” katanya.


Bagi kategori keempat iaitu PATI, Madius mencadangkan agar pihak keselamatan menangkap mereka seterusnya dapatkan perintah mahkamah untuk menghantar mereka balik ke negara asal.


Sementara itu dalam jawapan Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) telah ditubuhkan oleh Kerajaan susulan daripada syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Commission of Inquiry - RCI) Mengenai Pendatang Asing di Sabah bertujuan mengkaji dan membincangkan isu berkaitan pendatang dan warga asing di Sabah.


“Bagi tahun 2022, Mesyuarat JKPWAS-Teknikal telahpun diadakan pada 24 Januari 2022 manakala JKPWAS-Induk telah bermesyuarat pada 10 Februari 202,” katanya.


Antara keputusan yang telah disepakatkan semasa mesyuarat itu ialah pelaksanaan penguatkuasaan melalui operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Sabah akan diteruskan dengan lebih giat bagi membanteras kebanjiran PATI di Sabah dan cadangan penempatan semula masyarakat Pala’u diteliti secara lebih lanjut


Selain itu, cadangan Kerajaan Negeri Sabah untuk mewujudkan Kad Warga Asing yang bertujuan untuk pendataan warga asing di Sabah bagi memastikan pihak berkuasa dapat mengetahui dan mengenal pasti keberadaan golongan warga asing ini.


“Cadangan perwujudan Kad Warga Asing ini sedang diteliti oleh sebuah jawatankuasa kerja yang diterajui oleh Kerajaan Negeri Sabah,” kata Kementereian Dalam Negeri.

bottom of page