Malaysia akan beralih kepada model dwirangkaian 5G menjelang penghujung 2023
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia akan beralih kepada model dwirangkaian 5G menjelang penghujung 2023


3 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia akan melaksanakan model dwirangkaian 5G yang menawarkan kepelbagaian rangkaian untuk rakyat dan sektor perindustrian menjelang penghujung 2023, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.


Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju supaya Digital Nasional Berhad (DNB) meneruskan pelaksanaan rangkaian 5G sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.


“Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif.


“Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Tambah beliau, peralihan ini selaras dengan prinsip utama yang digariskan dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menekankan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat.


Fahmi juga berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page