top of page

Malaysia akan teruskan rundingan tarif AS – Tengku Zafrul

  • nabalunews
  • Jul 10, 2025
  • 2 min read

10 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Malaysia kekal optimis bahawa rundingan berkaitan tarif 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) masih mempunyai ruang untuk diselesaikan secara adil.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ketetapan tarif itu adalah keputusan Presiden Donald Trump dan bukan hasil daripada proses rundingan.


Pada Isnin, Washington mengumumkan bahawa ia akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia yang memasuki pasaran AS, berkuat kuasa 1 Ogos ini, satu peratus lebih tinggi daripada kadar yang diumumkan pada April lalu.


“Kami telah bertanya kepada wakil AS mengenai kenaikan ini, namun tiada jawapan diberikan setakat ini. Begitu juga, seperti Jepun, persoalannya kenapa ia tiba-tiba naik satu peratus?” katanya pada sidang media khas semalam mengenai pengumuman tarif terbaharu oleh Trump itu.


Antara negara rantau Asia yang turut dikenakan tarif 25 peratus ialah Jepun dan Korea Selatan.


Tengku Zafrul berkata, rundingan antara Malaysia dan AS masih berjalan sehingga tarikh kuat kuasa tarif tersebut, justeru rundingan tersebut tidak boleh dianggap gagal.


“Jadi, rundingan akan diteruskan. Sudah tentu dalam semua rundingan dan mesyuarat, dalam semua platform, kita terus menegaskan pandangan bahawa kita menyokong prinsip multilateralisme.


“Jika diberi pilihan 50-50, saya lebih yakin melebihi 50 peratus bahawa kita boleh capai hasil yang positif, tetapi kita perlu realistik dalam rundingan.


“Kita yakin kepada sistem perdagangan berasaskan peraturan dan kita yakin kepada sistem perdagangan berasaskan peraturan, sudah tentu dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia sebagai tunjangnya,” katanya.


Dalam pada itu, Malaysia turut menegaskan untuk mempertahankan kepentingan nasional menerusi garis sempadan yang tidak boleh dikompromi sepanjang rundingan berkenaan.


Beliau berkata, antara perkara utama dibangkitkan dalam rundingan terkait garis merah adalah seperti isu cukai digital, pensijilan halal dan perolehan kerajaan.


Dari segi sektor pula, rundingan bagi produk industri melibatkan pelbagai segmen termasuk jentera dan peralatan, produk kimia, peranti perubatan, besi dan keluli, aluminium, plastik, automotif serta produk elektrik dan elektronik (E&E).


"Bagi produk pertanian pula, perbincangan tertumpu kepada buah-buahan, bijirin dan beras, ternakan dan telur, daging serta produk tenusu, termasuk alkohol, turut disentuh ialah dakwaan sekatan bukan tarif," katanya.


Rundingan Malaysia-AS dijangka diteruskan dalam beberapa minggu akan datang, termasuk sesi perbincangan video bersama Wakil Perdagangan AS dan mesyuarat lanjutan membabitkan Perdana Menteri dan Setiausaha Negara AS.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page