- nabalunews
Malaysia berpotensi jadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2027
29 Julai 2024
PUTRAJAYA: Malaysia berpotensi menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 dan seterusnya jika ekonomi berkembang empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh kepada RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ekonomi negara berpotensi berkembang dengan baik dan berada dalam sektor masa depan seperti kemampanan tenaga, pembangunan pusat data dan pengeluaran cip elektronik melangkaui penggunaan sedia ada.
Katanya, potensi Malaysia sememangnya ada dengan mengambil kira masa depan dunia yang dikendalikan kecerdasan buatan (AI).
“Masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada Malaysia sekarang ini untuk melihat sama ada kita boleh guna kelebihan ini untuk berada di hadapan.
“Kalau kita (ekonomi negara) terus berkembang pada empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh RM4.20 sedolar dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia akan menjadi negara maju dan negara berpendapatan tinggi dari 2027 ke seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi (Be) 2023 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Mengenai potensi Malaysia menjadi kuasa ekonomi Asia atau bergelar ‘Harimau Asia’, Rafizi berkata, ukuran untuk digelar sebagai ‘Harimau Asia’ bukan dilihat dari segi jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.
Sebaliknya katanya, ia perlu mengambil kira unjuran lain seperti KDNK perkapita, kompleksiti ekonomi, pengeluaran untuk eksport dan kemampuan menjadi hab kewangan antarabangsa.
Namun, jelasnya, adalah lebih mudah mengukur mengikut piawaian antarabangsa seperti negara berpendapatan tinggi yang lazimnya disamakan dengan negara maju.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi yang memberangsangkan adalah petunjuk bahawa Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status Harimau Asia.
Katanya, beliau juga telah menerima maklum balas positif berhubung prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh semasa pertemuan dengan pelabur dan penganalisis, mereka menyatakan keyakinan mengenai pertumbuhan masa depan negara.
Komentarze