Malaysia bersedia jadi peneraju peralihan tenaga - Rafizi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia bersedia jadi peneraju peralihan tenaga - Rafizi


26 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk menerajui sektor peralihan tenaga di rantau Asia dengan melancarkan pasaran pertukaran sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) serantau dalam beberapa bulan akan datang.


Ini adalah salah satu daripada perubahan dasar utama yang dilakukan oleh kerajaan baru yang mengambil alih kuasa enam bulan lalu.


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, Malaysia mempunyai banyak potensi dan kelebihan geografi untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan RE, berbanding dengan dasar sebelum ini yang hanya menumpukan pada pembangunan pasaran domestik secara organik.


“Kami cukup faham bahawa kami perlu sangat fokus kepada sektor peralihan tenaga,” katanya dalam temu bual di Forum Ekonomi Qatar, dibawakan oleh Bloomberg.


Beliau turut menyatakan bahawa negara akan melancarkan satu pelan induk perindustrian baharu pada Ogos dan semakan semula perancangan lima tahunnya pada September, sebagai persediaan menuju pembentangan belanjawan pada November.


“Jadi, dengan mengimbangi antara perkara yang kami ingin lakukan dan cara kami melakukannya, saya fikir, ia kunci kepada kemampanan,” katanya.


Rafizi juga menekankan bahawa Malaysia perlu meningkatkan kapasiti RE lebih 11 kali dalam masa 20 tahun akan datang dan melabur kira-kira AS$150 bilion dalam infrastruktur, dengan tumpuan pada peralihan daripada pembuatan nilai sederhana kepada bernilai tinggi.


Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang meneroka industri semikonduktor sejak 1970-an, Malaysia kini sedia mempelbagaikan ruang untuk bergerak ke hadapan, termasuk dalam aspek tenaga kerja.


“Polisi pada masa lalu sangat didorong oleh bekalan… Tetapi kadar teknologi telah meningkat dan kami beralih ke arah permintaan dengan memberi kebebasan dan insentif, serta bekerjasama dengan industri,” katanya lagi.

bottom of page