Malaysia, Kanada kukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor ekonomi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia, Kanada kukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor ekonomi


Ewon bersama CEO SME Corp Rizal Nainy dan CEO Bank Rakyat Dr. Mohammad Hanis Osman mengadakan perbincangan bersama Arif, mewakili Kanada..

29 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PARIS: Malaysia dan Kanada mengadakan mesyuarat dua hala pada Rabu untuk meneroka dan mengukuhkan hubungan kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi.


Mesyuarat itu diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Arif Virani, Setiausaha Parlimen kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa, Penggalakan Eksport, Perniagaan Kecil dan Pembangunan Ekonomi.


Antara perkara yang dibincangkan ialah minat Kanada untuk menjadi sebahagian daripada negara rakan ASEAN, sokongan Malaysia terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).


Turut dibincangkan potensi kerjasama dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sektor pembangunan, francais, koperasi dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


“Kanada merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan kepada negara itu untuk menjadi sebahagian daripada negara rakan ASEAN dan ingin mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Malaysia," kata Ewon dalam kenyataan media, hari ini.


Kanada akan menubuhkan Pejabat Misi Perdagangannya di Filipina bagi mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.


Ewon berkata, Malaysia juga berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Kanada dalam bidang keusahawanan, terutamanya dalam akses pasaran seperti halal, elektrik dan elektronik, peranti, mesin dan peralatan perubatan serta bioteknologi.


“Kami juga mencadangkan untuk bekerjasama dalam penerimaan dan pematuhan ESG dalam kalangan PKS, eksport perniagaan dan pemadanan perniagaan, pembangunan francais serta pembangunan koperasi.


“Kanada turut menyatakan hasrat mereka bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan MSME,” katanya.


Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneruskan dialog dan akan membuat susulan mengenai bidang kerjasama yang dibincangkan semasa mesyuarat itu.

bottom of page