Malaysia kecam keras serangan Israel ke atas Iran
- nabalunews
- Jun 13
- 1 min read

13 Jun 2025
PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran yang disifatkan sebagai ancaman serius terhadap keselamatan global.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menegaskan tindakan Israel itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Wisma Putra, tindakan keganasan tanpa provokasi itu bukan sahaja mengorbankan nyawa anggota tentera dan orang awam Iran malah turut memusnahkan infrastruktur kritikal di beberapa kawasan sekitar negara itu.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa serta Majlis Keselamatan PBB untuk mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel.
"Ini termasuk memastikan rejim tersebut dipertanggungjawabkan berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam PBB,” menurut kenyataan itu.
Selain itu katanya, segala usaha mesti diambil bagi mengelakkan peningkatan ketegangan dan potensi implikasi yang boleh menjejaskan kestabilan rantau tersebut.
"Dalam konteks ini, Malaysia menyokong usaha berterusan Amerika Syarikat dan Iran untuk menyambung semula dialog diplomatik berkaitan program nuklear Iran," tambah kenyataan itu.
Malaysia turut menegaskan pendirian konsisten menyokong penyelesaian konflik melalui dialog dan diplomasi yang kukuh selaras dengan undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan yang menyeluruh serta berkekalan.
Comments