Malaysia sudah hantar surat permohonan sertai BRICS – PM
- nabalunews
- Jul 29, 2024
- 2 min read

28 Julai 2024
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Rusia selaku Pengerusi BRICS.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan hasrat Malaysia menyertai organisasi BRICS itu menjadi inti pati utama perbincangan Anwar dengan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, yang melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana hari ini.
“Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi (BRICS) kepada Rusia selaku Pengerusi BRICS, selain menyatakan keterbukaan untuk menyertainya sebagai negara anggota atau rakan strategik,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS yang merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi dan sedang pesat membangun. Afrika Selatan kemudian menyertai blok itu pada 2010, sebelum disertai Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.
Terdahulu, ketibaan Lavrov dan delegasi pada pukul 10 pagi di Kompleks Seri Perdana disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Dalam pertemuan hampir sejam itu, Anwar dan Lavrov juga membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia-Rusia serta memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor meliputi perdagangan, pelaburan, keselamatan, pertahanan, pendidikan tinggi, sains dan teknologi, pelancongan dan kebudayaan.
Turut dibincangkan, situasi semasa di Palestin termasuk penegasan Malaysia mengenai keperluan mendesak untuk gencatan senjata kekal dan bantuan kemanusiaan pantas di Gaza serta Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 10 Mei lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu.
Resolusi itu diluluskan dengan 143 negara mengundi menyokong, sembilan menentang dan 25 berkecuali.
UNSC mengundi secara majoriti untuk memberikan Palestin beberapa hak tambahan dalam badan global itu, selepas usaha mereka untuk menjadi ahli penuh disekat oleh Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu mengenai perang antara Ukraine dan Russia yang sudah memasuki tahun kedua, Anwar turut menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada penyelesaian konflik yang sudah meragut puluhan ribu nyawa askar dan orang awam itu.
Comments