top of page

Malaysia tolak tawaran sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Wartawan Nabalu News

22 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026, kata Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan.


Menurut kenyataan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini telah membuat keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.


“Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua pada 5 Februari 2024.


“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar,” kata kenyataan itu.


Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenalpasti dalam jangka masa singkat ini.


Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.


“Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan tersebut.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page