Malaysia yakin tarik pelaburan berimpak tinggi, lonjak ekonomi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia yakin tarik pelaburan berimpak tinggi, lonjak ekonomi


5 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai insentif dan fokus yang sesuai untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi yang dapat meningkatkan ekonomi negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Beliau berkata lima sektor utama yang diberikan perhatian ialah aeroangkasa, bahan kimia/petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik dan farmaseutikal.


Jelas beliau, sektor-sektor ini mampu memacu sektor buruh, pendapatan isi rumah dan kelestarian ekonomi.


Beliau juga berkata Malaysia sentiasa mengekalkan perhubungan diplomatik dengan rakan dagang penting dan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) bagi memastikan pelabur terus menunjukkan keyakinan untuk melabur di Malaysia.


"Kita dapat lihat syarikat tempatan dan antarabangsa semakin banyak melabur dan pada masa sama, yang penting kita dapat melihat asas ekonomi semakin kukuh dari segi pekerjaan serta penurunan pengangguran dan inflasi," katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.


Beliau memberikan contoh pengumuman pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (1 euro=RM4.99) oleh syarikat semikonduktor Jerman, Infineon Technologies AG yang diumumkan baru-baru ini sebagai tanda keyakinan pelabur terhadap gagasan Ekonomi MADANI.


Syarikat itu mengumumkan pengembangan kemudahannya di Kulim, Kedah untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro dalam tempoh lima tahun akan datang.


Menurut syarikat itu, pelaburan tersebut akan menyumbang kepada potensi perolehan SiC tahunan kira-kira tujuh bilion euro menjelang akhir dekad ini.


Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata negara turut menyaksikan pemulihan prestasi ringgit.


"Kesemuanya melibatkan keyakinan sebenarnya. Saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar 4.0 hingga 5.0 peratus pada akhir tahun ini dan ini akan mengukuhkan lagi mata wang ringgit," katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page