Mata pelajaran KeTataNegaraan perlu dalam sistem persekolahan: MadiusMata pelajaran KeTataNegaraan perlu dalam sistem persekolahan: Madius
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mata pelajaran KeTataNegaraan perlu dalam sistem persekolahan: Madius



16 September 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meminta kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan mata pelajaran keTataNegaraan dalam sistem persekolahan Malaysia bermula daripada Tadika sehinggalah ke Universiti.


Beliau berkata demikian ekoran kurangnya penghayatan terhadap sambutan Hari Malaysia yang merupakan sejarah kemerdekaan negara dan juga hari kelahiran negara kita Malaysia.


“Walaupun pembentukan Malaysia sudah mencecah 58 tahun tetapi Hari Malaysia hanya diisytiharkan pada 19 Okt 2009 dan hanya pertama kali dirayakan sebagai satu sambutan rasmi kerajaan pada 16 Sept 2011 iaitu 50 tahun selepas pembentukan Malaysia.


“Tentunya rakyat Malaysia terutama sekali generasi muda tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah terjadi? Kenapa hari kelahiran negara tercinta ini telah dinafikan dengan Sambutan Hari Jadi selama 50 Tahun?” katanya dalam sidang parlimen, kelmarin.


Menurut beliau, fakta-fakta sejarah tentang pembentukan Malaysia turut tidak dimuatkan sepenuhnya secara terperinci dalam buku-buku teks mata pelajaran Sejarah dalam sistem persekolahan Malaysia dan meminta Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan supaya memperbetulkan fakta-fakta sejarah tersebut sejajar dengan Titah Diraja.


Madius turut mempersoalkan mengapa sambutan hanya digilir-gilirkan diantara Sabah dan Sarawak sejak Sambutan Rasmi Hari Malaysia diadakan pada tahun 2011.


“Sudah 11 tahun kita raikan Hari Malaysia tetapi warga Ibu Kota Kuala Lumpur belum lagi menikmati sambutan tersebut?


“Apakah Kerajaan pimpinan Yang Berhormat Bera, akan memulakan sambutan Hari Malaysia ini dilaksanakan di Semenanjung Malaysia selepas ini,” ujarnya.


Tambah Madius lagi, sejarah pembentukan Malaysia tidak lengkap jika sekiranya tidak ada kesungguhan untuk melaksanakan kandungan Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963 atau MA63.


Menurutnya, 17 perkara dalam MA63 sudah dipersetujui untuk dilaksanakan namun 5 perkara lagi belum dipersetujui.


Sehubungan itu, Madius juga menyentuh jurang pembangunan antara wilayah khususnya Sabah dan Sarawak yang dilihat keterbelakang berbanding negeri-negeri lain.


“Pembangunan Sabah berada 10 tahun keterbelakang dan selagi perancangan pembangunan negara tidak mengutamakan perspektif Sabah dalam merancang pembangunan negara selagi itulah Sabah ini akan berterusan sebagai the least develop territory of Malaysia.


“Walaupun perkapita Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sabah telah meningkat ke USD5,000 namun angka tersebut hanyalah setengah daripada KDNK negara pada kadar USD10,000.


“Bagaimanakan ekonomi Sabah dapat di lonjakkan tanpa peningkatan drastik dalam Infrastruktur pengangkutan dan logistik khususnya pembinaan pelabuhan yang mampu menarik syarikat perkapalan antrabangsa untuk mendaftar dipelabuhan-pelabuhan di Sabah?,” katanya.


Madius menegaskan jurang pembangunan wilayah khususnya antara di Sabah dan Semenanjung akan berterusan selagi pemusatan kuasa di Putrajaya dan agenda desentralisasi dinafikan.


Beliau turut meminta kerajaan untuk memberi keutamaan kepada pelaksanaan dasar serta memberi peruntukan untuk penggunaan teknologi satelit untuk memastikan pemberian jalur Lebar atau broadband internet connectivity disetiap pelusuk negara bermula daripada Sabah.


“Hanya dengan penggunaan teknologi satelit kita akan dapat internet connectivity tidak kira di mana pun tempat sama ada di gaung-gaung dan tempat terpencil pun sekiranya kita menggunakan teknologi satelit,” katanya.


Tambah beliau lagi, reformasi parlimen juga penting cabara-cabaran pembangunan yang disebutkan itu dapat diatasi.

bottom of page