top of page

MCMC panggil Meta perjelas isu iklan penipuan, judi dalam talian

  • nabalunews
  • 8 minutes ago
  • 2 min read

ree

8 November 2025


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil pihak Meta untuk memberi penjelasan rasmi susulan pendedahan agensi berita Reuters bahawa syarikat itu meraih keuntungan daripada penyiaran iklan penipuan dan perjudian dalam talian.


MCMC dalam kenyataan pada Sabtu berkata, pihaknya memandang serius pendedahan tersebut dan berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


“MCMC akan memulakan siasatan terhadap perkara ini. Sekiranya terbukti benar, ia dianggap pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam dan undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.


Jelas suruhanjaya itu, sebelum laporan tersebut diterbitkan, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa platform media sosial utama termasuk Meta bagi membincangkan isu berkaitan iklan penipuan dan perjudian dalam talian.


MCMC turut menzahirkan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan yang tinggi perlu dikemukakan kepada Meta berbanding platform lain.


Menurutnya, sebanyak 157,208 permintaan penurunan kandungan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan telah dikemukakan kepada Meta bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025.


“Jumlah ini jauh melebihi platform lain. Bagi tempoh sama, hanya 3,956 permintaan dikemukakan kepada TikTok, 269 (Telegram), 11 (X) dan 45,448 (YouTube) untuk isu sama.


“MCMC telah menasihati Meta supaya mengambil langkah lebih proaktif dalam membanteras penipuan dan perjudian dalam talian memandangkan tindakan sedia ada masih belum mencukupi dan terus memberi kesan negatif kepada masyarakat,” jelas suruhanjaya itu.


Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah serta bertanggungjawab membuktikan keberkesanan sistem kawalan mereka bagi mencegah aktiviti haram.


Selain itu, platform-platform berkenaan juga disarankan supaya melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.


"Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana platform bersubahat atau membantu aktiviti menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan undang-undang negara,” menurut MCMC.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page