Misi memburu emas pertama Malaysia membara di Olimpik Los Angeles 2028
13 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Misi untuk memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik terus membara selepas kegagalan untuk meraih kilauan pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ketua Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan, persiapan atlet untuk edisi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 perlu dilakukan dari sekarang untuk mengakhiri penantian yang cukup lama itu.
"Kalau tanya saya memanglah selaku ketua kontinjen termasuk semua pihak, menteri dan sebagainya nak emas dan kita berusaha ke arah itu namun gagal.
"Jadi kalau tanya saya dendam itu membara di Los Angeles 2028. Kita mesti berusaha untuk dapatkan emas dari sekarang sebab Olimpik ini tempat satu dunia beraksi dan kejohanan sangat elit.
"Perlukan pengorbanan, bukan hanya kerajaan, persatuan atau Majlis Sukan Negara, tetapi atlet juga perlu berkorban.
"Bukan hanya semasa hari bertanding di Olimpik sahaja tetapi perlu bermula sekarang," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Hamidin ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris hari ini.
Pada Sukan Olimpik Paris 2024, kontinjen negara membawa pulang dua pingat gangsa dari badminton menerusi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.
Mengulas mengenai keseluruhan prestasi kontinjen negara, Hamidin menjelaskan beberapa atlet menunjukkan peningkatan berbanding prestasi mereka terdahulu.
"Sebahagian besar atlet kita menunjukkan peningkatan daripada rekod mereka.
"Kita boleh tengok badminton, angkat berat dan sebagainya. Ini satu peningkatan yang bagus walaupun kita hanya dapat dua pingat gangsa," katanya.
Malaysia menamatkan cabaran Sukan Olimpik Paris 2024 di tempat ke-80 bersama Albania, Grenada dan Puerto Rico selepas meraih dua pingat gangsa, tanpa kilauan emas yang diidam-idamkan selama ini.
Comments