top of page

MU KEKAL DI TANGGA TERATAS LIGA PERDANA INGGERIS SELEPAS SERI TANPA JARINGAN DENGAN LIVERPOOL

  • nabalunews
  • Jan 18, 2021
  • 2 min read

ree

18 JAN 2021


LIVERPOOL, England: Babak pertama Liga Inggeris tahun lalu menyaksikan Liverpool berada di tangga teratas liga dengan 33 mata di hadapan Manchester United (MU).


Bagaimanapun, keputusan seri 0-0 di Anfield memberi peluang kepada pasukan pelawat bimbingan Ole Gunnar Solskjaer kekal berada di tangga teratas liga dengan 37 mata manakala Liverpool jatuh ke kedudukan ketiga.


Pertemuan malam semalam itu memperlihatkan prestasi membanggakan pasukan Liverpool kendalian Solskjaer, sekali gus menjadikannya salah satu pencabar utama kejuaraan Liga Perdana pada musim ini.


Ia merupakan permainan ketiga berturut-turut yang menyaksikan Liverpool gagal menjaringkan gol dan buat pertama kalinya mereka diikat seri tanpa jaringan di Anfield sejak Oktober 2018.


Pujian diberikan kepada empat bek pertahanan MU - Luke Shaw, Aaron Wan-Bissaka , Harry Maguire dan Victor Lindelof yang mempamerkan aksi cemerlang untuk menidakkan Liverpool daripada menjaringkan gol.


Penyerang Liverpool, Roberto Firmino berpeluang pada separuh masa pertama untuk meletakkan pasukannya di hadapan namun sepakannya yang lemah berjaya diselamatkan penjaga gol United, De Gea.


Sadio Mane dan Mohamed Salah, yang masing-masing meledak 37 gol dalam liga musim lalu, mempamerkan aksi hambar dan gagal membolosi gawang lawan.


"Tidak ada penjelasan yang perlu diberikan (kerana kekurangan gol). Anda kehilangan peluang baik untuk meraih kemenangan. Apa yang penting sekarang ialah terus bergerak ke hadapan dan mengabaikan kata-kata negatif yang dilemparkan. Kita semua ingin melihat gol, tetapi ia bukan sesuatu yang boleh dipaksa,” kata Klopp.


"Ini bola sepak. Keadaan seperti ini boleh berlaku. Ada saat dimana anda tidak dapat menjelaskan mengapa anda berjaya menjaringkan gol dari semua sudut dan keadaan ini sama seperti itu," tambahnya.


Ketika permainan semakin menuju ke wisel penamat, kelihatan intensiti awal Liverpool menunjukkan penurunan yang ketara, satu indikasi bahawa mereka mungkin merasakan rentak jadual perlawanan yang padat.


Melihat kepada kedudukan liga semasa, di mana hanya lima mata memisahkan pasukan enam teratas, juara mungkin akan dirangkul oleh pasukan yang dapat bertahan dan mempunyai tenaga mencukupi untuk bermain dalam jadual perlawanan yang padat.


Berdasarkan prestasi beberapa minggu kebelakangan ini, United kelihatan mempunyai peluang cerah dari segi stamina tetapi saingan masih terbuka luas, dengan Manchester City, Leicester City dan Tottenham Hotspur juga berada di kedudukan yang baik untuk bersaing pada babak kedua musim ini.


Namun begitu, kemampuan Liverpool bersaing semula dan mencari tenaga serta momentum bagi perlawanan seterusnya juga tidak boleh dipandang ringan.


"Prestasi semasa kami tidak mencapai standard yang sepatutnya, dalam beberapa perlawanan lalu," kata kapten Liverpool Jordan Henderson, yang kini bermain sebagai pemain gantian akibat kecederaan pemain utama di bahagian pertahanan.


"Kami perlu terus bergerak ke hadapan, bekerja keras dan berusaha memperbaiki permainan. Kami tidak akan berhenti begitu sahaja. " – Reuters

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page