Nakano dikecam netizen Malaysia
- nabalunews
- Aug 12, 2024
- 1 min read

12 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Insiden perlanggaran pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano dalam saingan akhir acara keirin Sukan Olimpik 2024 di Paris, semalam mencetuskan kemarahan peminat sukan negara.
Netizen Malaysia berang kerana Nakano dikatakan menjadi punca insiden itu sehingga menyebabkan Shah Firdaus terlepas peluang untuk meraih pingat gangsa ketika berada di kedudukan terbaik menuju penamat bagi mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.
Ekoran insiden tersebut Instagram pelumba Jepun itu diserang ribuan warganet Malaysia yang meninggalkan kata-kata kesat di ruangan komen.
Tinjauan Sinar Harian mendapati Instagram Nakano dibanjiri lebih 36,000 komen yang melepaskan kemarahan terhadap pelumba terbabit.
Akibat insiden tersebut Shah Firdaus meraih tempat keempat, namun diturunkan ke tangga keenam kerana dikesan memulakan perlanggaran manakala Nakano pula gagal menamatkan perlumbaan.
Dalam aksi di Velodrom Saint Quentin en Yveline itu, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen unggul merangkul pingat emas ketiganya di Paris selepas turut memenanginya dalam acara pecut individu dan berpasukan.
Pelumba Australia Matthew Richardson memenangi pingat perak manakala rakan senegaranya, Matthew Glaetzer membawa pulang gangsa.
Comments