Naratif Kukuh Kerajaan Dorong Ringgit Antara Mata Wang Berprestasi Terbaik Dunia - Rafizi
- nabalunews
- Oct 2, 2024
- 2 min read

2 Oktober 2024
SHAH ALAM: Naratif yang kukuh serta keberanian kerajaan dalam melaksanakan keputusan-keputusan yang sukar telah menjadi faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ringgit, menjadikannya salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia berbanding dolar AS, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Rafizi menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif dan strategi ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya memperkukuhkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
Beliau menekankan bahawa naratif yang bersesuaian, iaitu meyakinkan pelabur domestik dan antarabangsa tentang kestabilan serta potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia, adalah faktor penting dalam memacu prestasi ringgit.
"Kita telah menyaksikan pengaliran wang ke pasaran saham kita sejak Julai tahun lepas, dan sebahagiannya berikutan kita telah menyediakan naratif bersesuaian dan melakukan beberapa keputusan yang sukar.
“Jika kita terus melaksanakan sesuatu yang betul -- walaupun terdapat cabaran atau kritikan yang kita hadapi -- dan fokus kepada kekuatan kita untuk mengekalkan kelebihan daya saing yang menarik ramai ke sini, kita sewajarnya dapat mengharungi apa sahaja ‘eksternaliti' tidak dirancang yang berlaku," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Rafizi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama Kerajaan Negeri Selangor yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini semalam.
Beliau berkata prestasi semasa ringgit telah meningkatkan keyakinan pelabur dunia dan antarabangsa terhadap Malaysia, yang perlu dimanfaatkan oleh perniagaan dan pemain industri.
“Pelabur antarabangsa dan dunia yakin dengan kita dan mereka memberi tumpuan kepada Malaysia pada masa ini. Kita perlu meminta semua pihak untuk merebut peluang ini.
Tambah Rafizi lagi, Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang RMK13, jika semua pihak terus berusaha dalam meningkatkan daya saing ekonomi negara.
“Saya berharap kita boleh mengekalkan tumpuan dan sekiranya usaha ini berterusan, kita akan dapat menyaksikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang berakhirnya RMK-13,” katanya.
Commentaires