NIMP 2030: Pelan perindustrian negara keempat dengan empat misi utama
Wartawan Nabalu News

2 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP 2030) yang bertujuan untuk meningkatkan nilai tambah dan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan.
Beliau berkata, pelan itu akan melibatkan kos sekitar RM95 bilion dalam tempoh tujuh tahun, yang kebanyakannya akan datang dari ekuiti swasta, kapital dan pasaran kewangan. Kerajaan pula akan menyediakan hampir 10 peratus daripada jumlah itu sebagai pemangkin dan insentif.
Jelas Anwar, pelan tersebut disasar untuk meningkatkan nilai tambah sektor pembuatan kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, pengembangan sebanyak 6.5 peratus dari nilainya hari ini.
NIMP 2030 akan memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, bahan kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa, farmaseutikal dan bahan lanjutan.
"Dari segi peluang pekerjaan, perkembangan diunjurkan sebanyak 2.3 peratus dari tahun 2023, menyediakan peluang kehidupan lebih baik untuk 3.3 juta individu menjelang 2030," katanya.
Dalam pada itu, gaji median sektor pembuatan dijangka akan naik 9.6 peratus, mencapai RM4,510 dari RM1,976, hasil daripada penglibatan dalam aktiviti bernilai tinggi dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Anwar turut menyentuh mengenai peranan NIMP 2030 dalam membina kapasiti syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam sektor pembuatan.
"Pelan ini akan membantu mengembangkan SME menjadi syarikat tier pertengahan, yang dapat membantu Malaysia memperoleh pendapatan dari pertukaran wang asing," katanya.
“Saya difahamkan MITI juga mempunyai rangka kerja yang akan diluncurkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, untuk membina kapasiti SME dalam prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya lagi.
NIMP 2030 merupakan pelan perindustrian negara keempat, yang berlandaskan empat misi utama – kemajuan ekonomi rumit, agenda negara digital, ke arah negara sifar karbon, serta mengawal keselamatan dan keterangkuman ekonomi.
Majlis pelancaran NIMP 2030 turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri-menteri Kabinet; pegawai-pegawai kanan kementerian; dan pemain industry.
תגובות