top of page

NRES perkukuh pemuliharaan ekosistem tanah lembap

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

2 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan dan penggunaan bijak ekosistem tanah lembap di seluruh negara.


Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata NRES sebagai pusat rujukan kebangsaan bagi Konvensyen Ramsar di Malaysia sentiasa komited dan menyokong usaha Kerajaan-kerajaan Negeri untuk memulihara ekosistem tanah lembap.


Usaha pemuliharaan itu, menurut beliau, adalah selaras dengan matlamat dan sasaran Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030.

“Ekosistem tanah lembap menawarkan nilai pemuliharaan yang tinggi merangkumi manfaat ekonomi daripada sumber alam dan pelancongan, serta fungsi ekosistem yang penting seperti tebatan banjir, tadahan air, perlindungan pesisir pantai dan simpanan karbon.


“Malaysia bertuah kerana mempunyai kekayaan ekosistem tanah lembap yang meliputi keluasan lebih 5.19 juta hektar,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2026 yang disambut hari ini.


Menurut Arthur, tema sambutan tahun ini iaitu Tanah Lembap dan Ilmu Tradisi: Meraikan Warisan Budaya dipilih untuk mengetengahkan hubungan mendalam antara tanah lembap dengan amalan budaya, tradisi, dan sistem pengetahuan komuniti di seluruh dunia.


Dalam pada itu, katanya, Malaysia wajar berbangga apabila tujuh tapak tanah lembap negara menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai Tapak Ramsar, termasuk Tasek Bera di Pahang yang diiktiraf pada 1994 selain Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor pada 2003.


Turut tersenarai Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah yang masing-masing diiktiraf pada 2008 dan 2016, serta Kuching Wetlands National Park di Sarawak pada 2005.


“Pengiktirafan oleh Konvensyen Ramsar juga mencerminkan kepentingan ekosistem tanah lembap serta peranan komuniti setempat dan pihak berkepentingan dalam usaha memulihara ekosistem tanah lembap di negara,” ujarnya.


Arthur berkata, sebagai tanda komitmen negara kepada pemuliharaan dan penggunaan bijak tanah lembap, Malaysia telah menganggotai Konvensyen tanah lembap atau dikenali sebagai Konvensyen Ramsar pada 1994.


Konvensyen Ramsar ialah perjanjian multilateral alam sekitar moden yang tertua sejak 1971 dan mempunyai 172 negara ahli.


"Sebagai sebahagian obligasi negara-negara anggota, sebanyak 2,546 tanah lembap berkepentingan antarabangsa atau tapak Ramsar telah diiktiraf di seluruh dunia sehingga 2025," katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page