top of page
nabalunews

Nurul Izzah pecahkan rekod kebangsaan miliknya di Paris 2024

9 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta sensasi dalam acara pecut di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan memecahkan rekod kebangsaan miliknya.


Nurul Izzah yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik mencatat 10.709 saat (s) pada perlumbaan kelayakan di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines sekali gus memadam rekod kebangsaan 10.903s yang dilakukannya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, tahun lalu.


Dengan catatan itu, Nurul Izzah yang diberi jolokan The Pocket Rocketwoman melangkah ke pusingan 1/32 bertemu Sophie Capewell dari Great Britain namun tewas dan selepas ini dijadual menyertai saingan Repechage.


Sementara itu pelumba Jerman, Lea Friedrich berjaya mencatatkan rekod dunia, hanya beberapa minit selepas wakil New Zealand, Ellesse Andrews melakukan perkara sama.


Pelumba berusia 24 tahun itu mencatat masa 10.029s untuk mengungguli pusingan kelayakan.


Dia tampil ke dalam velodrom dengan penuh bersemangat untuk menafikan rekod pemenang pingat emas keirin, Ellesse yang sebelum itu mencatat masa 10.108s bagi memadam rekod lama 10.154 yang dicatatkan penyandang juara Olimpik, Kelsey Mitchell pada 2019.

Comments


bottom of page