top of page

Olimpik Paris 2024: Aaron Chia-Soh Wooi Yik sumbang pingat pertama negara

  • nabalunews
  • Aug 5, 2024
  • 1 min read

ree

4 Ogos 2024


PARIS : Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan pingat pertama untuk Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila berjaya menewaskan beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, hari ini.


Berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Aaron-Wooi Yik menang 16-21, 22-20, 21-19 dalam tempoh 74 minit pada perlawanan penentuan pingat gangsa itu.


Set pertama berlangsung agak sengit apabila kedudukan mata sentiasa rapat namun Astrup-Rasmussen lebih tenang di hujung perlawanan untuk mendapatkan mata kemenangan.


Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia 2022 sedar mereka perlu bangkit di set kedua, tetapi masih lagi tercari-cari rentak untuk mengatasi lawan mereka itu.


Bagaimanapun ketika di ambang kekalahan selepas Astrup-Rasmussen mendahului 20-16, Aaron-Wooi Yik mempamerkan kebangkitan epik luar biasa apabila memperoleh enam mata berturut-turut untuk mencatatkan kemenangan 22-20 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.


Kemenangan di set kedua meningkatkan tahap keyakinan Aaron-Wooi Yik yang tampil lebih garang di set penentuan sebelum meraih mata penamat yang benar-benar dimahukan.


Selepas tewas kepada Astrup-Rasmussen pada pertemuan terakhir di Terbuka Singapura, Mei lalu, Aaron-Wooi Yik akhirnya berjaya membalas dendam kekalahan itu,

namun lebih manis pasangan negara ini dapat mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.


Ketika di Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk membawa pulang pingat gangsa.


Aaron-Wooi Yik terlepas peluang untuk menukar warna pingat ke emas atau perak selepas tewas 19-21, 21-15, 17-21 kepada beregu utama dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam pertarungan separuh akhir yang sengit, Jumaat lalu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page