top of page

Olimpik Paris 2024: Azizulhasni Tiada Niat Pintas Pacer, pelumba Perancis terlalu agresif

  • nabalunews
  • Aug 11, 2024
  • 3 min read
ree

11 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Azizulhasni Awang mengakui dia tidak berniat untuk memintas pacer atau derny (basikal elektrik yang bertindak sebagai pemacu perlumbaan) ketika saringan pertama acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.


Azizulhasni dalam catatan di Facebook hari ini mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku kepadanya di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines sehingga dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara kegemarannya itu akibat kesalahan memotong pacer sekali gus meranapkan misinya untuk memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.


Azizulhasni menjelaskan tindakan itu berpunca berlakunya halangan dan himpitan berterusan daripada pelumba Perancis, Rayan Helal selain pacer bergerak pada kelajuan tidak sepatutnya yang agak perlahan daripada kebiasaan iaitu 40 hingga 45 kilometer sejam (km/h) dan tidak memecut keluar seperti lazimnya.


Beliau berkata sebagai pelumba elit, mereka tahu kelajuan pacer sebelum memecut keluar yang secara lazimnya mencecah 50-55km/h.


“Saya yang tengah bergolak dengan pelumba Perancis itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut dan cuba back pedal sebagai cara untuk breaking akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan.


“Berdasarkan peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di pursuit line iaitu garisan halus di tengah front stretch (bukannya garisan permulaan),” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Azizulhasni berkata demikian dalam satu hantaran panjang lebar di akaun Facebooknya, hari ini.


Pelumba berusia 36 tahun itu turut berkongsi mengenai percaturan perlumbaan yang telah direncanakan bersama ketua jurulatih John Beasley selepas mendapat undian, iaitu adalah untuk terus ke depan dan cuba dapatkan posisi itu seawal mungkin.


Perancangan itu dibuat kerana beberapa kelibat pelumba dengan kelajuan tinggi ada dalam saingan dan jika mereka memecut, ia akan menyukarkan beliau untu bergerak ke hadapan.


Sekiranya menggunakan taktik menunggu, pemenang dua kali pingat Sukan Olimpik itu khuatir kemungkinan halangan dan jurang dari beberapa pelumba hadapan dan atas sebab itu Azizulhasni memilih taktik terbaik bagi mencerahkan peluang untuk menang.


Taktik itu pernah digunakannya pada pusingan awal saingan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.


“Berbaki satu pusingan sebelum pacer keluar saya sudah bergerak ke hadapan secara perlahan-lahan dari belakang, ini sama ketika saya lakukan di perlumbaan Asian Championships di Kuala Lumpur dahulu.


“Perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua dan selepas pacer keluar saya akan terus memecut untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan (pertama),” katanya.


Bagaimanapun, juara dunia keirin 2017 itu berkata ketika melepasi selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, beliau dihalang dengan himpitan dari pelumba tuan rumah yang disifatkannya terlalu agresif yang menyebabkannya hampir terjatuh namun berjaya mengawal dengan baik.


Pelumba kelahiran Dungun itu berkata Helal terus mengekori rapat beliau selain cuba menghimpitnya sekali gus membuatnya bergerak ke depan untuk mengelak lawannya.


Berikutan 'hukuman’ itu, Beasley dan Pengurus Pasukan Izham Mohammad terus berjumpa panel Komisar bagi menjelaskan keadaan dan memohon untuk melakukan semakan video perlumbaan namun panel Komisar memilih untuk kekal dengan keputusan sama.


”Ada tak keadaan di mana pelumba melakukan kesalahan terang secara sengaja atau tidak sengaja yang menyalahi undang-undang perlumbaan tetapi tidak dikenakan kesalahan atau diberikan peluang oleh panel Komisar? Jawapannya ada.


“Boleh rujuk perlumbaan semi-final sprint (separuh akhir pecut) antara pelumba Great Britain dan Belanda juga perlumbaan quarter-final (suku akhir) antara pelumba Great Britain dan Jepun,” katanya.


Menurut Mohd Azizulhasni, insiden di Paris 2024 mengingatkan beliau kepada final keirin edisi Rio 2016, menyaksikan perlumbaan diberhentikan dua kali, namun dimulakan semula tanpa seorang pun pelumba dikeluarkan.


“Sukan lumba basikal trek memang keputusan mutlak daripada panel Komisar. Walaupun suatu ketika dahulu jurulatih dan pasukan boleh membawa hujah dan video untuk di reviu kembali akan tetapi sampai pada suatu ketika semuanya diubah sepenuhnya,” katanya.


Sementara itu, Azizulhasni berharap semua pihak memberikan sokongan dan doa kepada rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menggalas tanggungjawab serta harapan baharu membawa pulang pingat emas sulung kontinjen Malaysia.


Muhammad Shah Firdaus melayakkan diri ke suku akhir keirin lelaki selepas mengungguli saringan ketiga pusingan repechage.


Perlumbaan suku akhir dijadual pada 11.29 pagi Ahad waktu tempatan (5.29 petang waktu Malaysia) diikuti separuh akhir sejam kemudian dan final pada 1.32 tengah hari (7.32 malam waktu Malaysia).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page