- nabalunews
Olimpik Paris 2024 : Dhabitah layak ke final
8 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri mara ke final acara 3 meter (m) papan anjal wanita di Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam saingan separuh akhir di Pusat Akuatik Paris hari ini, penerjun berusia 25 tahun itu berjaya melayakkan diri ke final yang berlangsung esok apabila mengumpul keseluruhan 286.95 mata untuk berada di kedudukan kelapan terbaik daripada 18 peserta.
Hanya 12 penerjun layak meneruskan saingan di pusingan akhir.
Atlet berusia 25 tahun itu bermula cemerlang apabila menamatkan terjunan pertama di kedudukan kedua daripada 18 peserta dengan mencatatkan 67.50 mata.
Jaguh China, Chen Yiwen menamatkan pusingan pertama di tangga teratas dengan catatan 70.50 mata.
Dhabitah, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 layak ke separuh akhir dengan menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-12 dengan mengutip keseluruhan 283.65 mata.
Sebelum ini, pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata Dhabitah perlu mengutip 330 mata dan ke atas untuk menaiki podium di Paris 2024.
Untuk rekod, Dhabitah layak ke Olimpik Paris selepas diberikan slot tambahan daripada pihak Akuatik Dunia.
Pada aksi final Tokyo 2020, Dhabitah menamatkan saingan di tempat keempat selepas mengutip 326.15 mata keseluruhan.
Comentários