top of page
  • nabalunews

Olimpik Paris 2024: Hannah puji semangat kental Pearly-Thinaah

3 Ogos 2024


PARIS: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya perjuangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah pada Sukan Olimpik Paris 2024 masih belum berakhir dan kini beralih kepada misi meraih podium bagi perebutan pingat gangsa.


Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu masih berpeluang untuk merekodkan satu lagi pencapaian sulung bagi negara, iaitu menjadi beregu wanita pertama negara yang meraih pingat Olimpik, apabila dijadualkan berdepan beregu nombor empat dunia dari Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam perlawanan penentuan gangsa, esok.


Hannah yang kini berada di Paris dilihat bersama-sama memberikan dorongan kepada Pearly-Thinaah

selepas usaha gandingan negara untuk

mara ke pentas final di Porte de La Chapelle Arenad semalam, tidak kesampaian.


Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehebatan gandingan nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan apabila tewas 12-21, 21-18, 15-21 dalam aksi sengit separuh akhir selama 78 minit.


"Usaha untuk meraih pingat emas mungkin telah berakhir hari ini di Paris bagi Pearly dan Thinaah tetapi saya mengingatkan mereka ini - di sebalik memburu emas ini adalah semangat kecemerlangan yang kita mahu atlet dan generasi muda Malaysia bawa dalam setiap tugasan yang mereka lakukan,” katanya seperti dilaporkan Bernama semalam.


Beliau berkata, kedua-dua pemain tersebut jelas mempamerkan semangat kecemerlangan dengan berjuang habis-habisan hingga mengheret lawan ke set penentuan.


Pearly-Thinaah berpeluang mencipta sejarah selaku pemenang pingat pertama Malaysia dalam acara itu apabila bertemu Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun pada aksi penentuan pingat gangsa esok.

Comentários


bottom of page