- nabalunews
Olimpik Paris 2024 : Jaguh China Sekat Impian Emas Aaron Chia-Wooi Yik
2 Ogos 2024
PARIS : Hasrat beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mara ke pentas final sekali gus menghampiri impian meraih pingat emas Olimpik pertama negara tidak kesampaian, apabila tewas di tangan beregu nombor 1 dunia dari China, Liang Weikeng-Wang Chang 19-21, 21-15, 17-21 di pentas separuh akhir Sukan Olimpik Parism
Aaron-Wooi Yik yang dikecewakan lawan yang sama pada aksi terakhir Kumpulan A Isnin lalu, sekali lagi terpaksa akur dengan kekuatan Wei Keng-Chang di Porte de La Chapelle Arena biarpun sudah memberikan persembahan terbaik mereka.
Kedua-dua beregu memulakan set pertama dengan berhati-hati sebelum saingan semakin bertambah hangat di pertengahan perlawanan.
Wei Keng-Chang kemudian berjaya menjarakkan mata namun Wooi Yik bangkit dengan lebih agresif untuk menyamakan kedudukan pada mata ke-11.
Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila beregu China kembali mendahului pada ketika Aaron-Wooi Yik terus merapatkan kedudukan mata dengan corak permainan lebih agresif.
Situasi saling bertukar mata terus berlangsung sehingga mata ke-19 sebelum Wei Keng-Chang melengkapkan kemenangan set pertama 21-19.
Bersambung di set kedua, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking ketiga dunia berjaya mendahului saingan di saat Wei Keng-Chang tampak sering melakukan kesilapan.
Aaron-Wooi Yik terus menggunakan peluang berkenaan sebelum menamatkan set kedua dengan 21-15 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set penentuan menyaksikan Aaron-Wooi Yik meneruskan momentum dengan kedua-dua beregu saling bertukar mata sekali gus menjadikan suasana semakin bertambah genting dan mendebarkan.
Wei Keng-Chang terus mempamerkan kehebatan selaku beregu utama dunia dengan mendahului perlawanan sebelum memuktamadkan set penentuan dengan 21-17.
Aaron-Wooi Yik begitupun masih berpeluang untuk menyamai pencapaian di Tokyo 2020 apabila dijadual beraksi di penentuan gangsa menentang sama ada beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen atau gandingan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin, Ahad ini.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020 selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.
Comments