Ops Kesan 4.0: KPDN periksa 375 premis sejak 1 Julai
- nabalunews
- Jul 9, 2025
- 2 min read

9 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Sebanyak 375 premis melibatkan 1,698 unit penyimpanan stok (SKU) diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak Ops Kesan 4.0 dilaksanakan di seluruh negara pada 1 Julai lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, pemeriksaan berkenaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan melakukan pencatutan susulan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Bagi skop penguatkuasaan, ia meliputi barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam semakan kadar cukai jualan serta peluasan SST yang berkaitan, termasuk pemantauan terhadap barangan tidak terlibat dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas.
“Pemeriksaan d bawah Ops Kesan 4.0 ini meliputi semua kategori perniagaan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan turut mengambil kira empat elemen utama iaitu jenis barangan dan perkhidmatan, status pendaftaran perniagaan dengan kastam, tempoh pergerakan harga dan margin yang tidak menunjukkan unsur pencatutan.
Shamsul Nizam berkata, daripada 375 premis yang diperiksa bagi tempoh bermula 1 Julai hingga semalam, sebanyak enam Notis Hadir dikeluarkan kepada peniaga di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Daripada jumlah itu, dua syarikat bersetuju menangguhkan kenaikan harga dan mengekalkan harga sedia ada, dua syarikat lagi memaklumkan pelarasan harga dibuat selaras dengan pengenaan cukai, manakala dua syarikat lain sedang dalam tindakan sesi libat urus bersama KPDN.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Kesan 4.0 juga, sebanyak 17 aduan diterima dan kesemuanya masih dalam siasatan lanjut,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati kenaikan harga tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan.
“Sekiranya berlaku pencatutan, peniaga boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan,” katanya.
Ops Kesan 4.0 merupakan sebahagian daripada inisiatif Kita Gempur yang dilancarkan pada 19 Oktober tahun lalu bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti manipulasi harga disaran untuk menyalurkan aduan lengkap menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan 03-88826245/6088; Whatsapp 012-6654292; portal e-Aduan https://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1800886800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.















Comments