top of page

Pan Borneo Sabah Fasa 1A capai kemajuan 86.98 peratus, Fasa 1B 13.68 peratus

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

10 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 86.98 peratus, manakala Fasa 1B berada pada tahap 13.68 peratus, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Beliau berkata, Fasa 1A melibatkan 16 pakej kerja dengan kos keseluruhan RM10.9 bilion termasuk Pakej Kerja WP09 bernilai RM569 juta, manakala Fasa 1B merangkumi 19 pakej kerja dengan jumlah peruntukan RM13.989 bilion.


Setakat ini, jelas Nanta, empat daripada 16 pakej kerja di bawah Fasa 1A telah siap sepenuhnya dan mula memberi manfaat kepada pengguna jalan raya.


“Empat daripada 16 pakej kerja di bawah Fasa 1A telah berjaya disiapkan dan kini memberi manfaat terus kepada pengguna jalan raya.


“Komitmen Kementerian Kerja Raya (KKR) adalah untuk memastikan baki jajaran disiapkan secara berperingkat dengan sasaran penyelesaian menyeluruh bagi kedua-dua fasa ini pada suku keempat tahun 2028,” katanya ketika menggulung Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin.


Mengulas lanjut, Nanta berkata, pelaksanaan LPB Sabah melibatkan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer merangkumi 35 pakej kerja, berbanding projek di Sarawak sepanjang 786 kilometer yang hanya melibatkan 11 pakej kerja.


Ujarnya, jumlah pakej kerja yang lebih banyak bagi projek LPB Sabah menyebabkan proses pengurusan, perolehan tender dan penyelarasan antara kontraktor, agensi kerajaan serta perunding menjadi lebih panjang dan rumit, sekali gus menjadi antara punca kelewatan berbanding di Sarawak.


Menurut beliau, dua pakej kerja iaitu WP01 dari Sindumin ke Melalia sepanjang 28.5 kilometer (km) dan WP02 dari Melalia ke Beaufort sepanjang 34.7 km dilaporkan mengalami kelewatan berbanding jadual asal.


“Setakat ini, WP01 mencatat kemajuan fizikal 87.79 peratus berbanding jadual 97.64 peratus iaitu kelewatan 9.85 peratus, manakala WP02 berada pada tahap 62.31 peratus berbanding jadual 77.87 peratus, menunjukkan kelewatan 15.56 peratus.


“Kelewatan ini berpunca daripada beberapa faktor serta kekangan teknikal di tapak, namun KKR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengambil langkah intervensi bagi memastikan projek kembali ke landasan asal,” jelasnya.


Menurutnya, Ketua Setiausaha KKR dan pengurusan tertinggi kementerian turut meninjau kemajuan kedua-dua pakej itu pada 28 Januari lalu bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah dan JKR Sabah.


Beliau menambah, satu sesi perbincangan bersama kontraktor telah diadakan bagi mengenal pasti isu sebenar yang menyumbang kepada kelewatan serta mencari penyelesaian supaya projek infrastruktur itu dapat segera disiapkan demi kesejahteraan dan mobiliti rakyat Sabah.


Dalam pada itu, Nanta menggesa kerajaan negeri Sabah supaya mengambil langkah meningkatkan kapasiti Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah serta JKR Sabah bagi menjamin kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.


“Saya sendiri selaku Menteri Kerja Raya sentiasa memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan projek LPB Sabah dan komitmen ini dizahirkan menerusi beberapa siri lawatan tapak sepanjang 2024 dan 2025, termasuk mempengerusikan mesyuarat penyelarasan projek pada 12 Disember 2025.


“Kementerian kekal komited memastikan projek ini siap mengikut jadual melalui pemantauan rapi Jawatankuasa Pemandu bulanan bersama JKR Sabah. Sebagai projek berimpak tinggi, kejayaannya adalah keutamaan kementerian demi memacu lonjakan sosioekonomi rakyat Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page