Pelaksanaan MA63 Fokus Utama Menteri di JPM (Sabah dan Sarawak)
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

10 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan semua perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui pewujudan semula jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), bagi memperkukuh tindakan serta pemantauan pelaksanaannya.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dalam jawapan bertulis terhadap Soalan Lisan yang dikemukakan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO - Tuaran) di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Dalam soalannya, Datuk Madius meminta penjelasan mengenai fungsi, peranan serta tugas dan tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dan apakah mandat Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Mustapha, semua perkara berkaitan MA63 yang dibangkitkan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah dibincangkan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Dengan kewujudan portfolio ini, perkara-perkara MA63 yang telah dipersetujui akan dipantau pelaksanaannya, manakala perkara yang masih dalam rundingan akan terus dipantau dari segi perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut memaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) bertanggungjawab secara langsung ke atas Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang berperanan sebagai Sekretariat kepada MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikalnya.
Jelas beliau, skop tugas lain bagi portfolio tersebut akan dikemas kini selepas Perintah Menteri-menteri di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 diwartakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha memaklumkan kerajaan juga telah membangunkan Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dilancarkan pada 28 Januari 2026.
“Dashboard berkenaan akan diintegrasikan secara dalam talian melalui portal rasmi BHESS bagi membolehkan pihak berkepentingan mendapatkan maklumat tepat secara masa nyata serta berfungsi sebagai platform pemantauan bersepadu pelaksanaan MA63.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berhemah, inklusif dan berlandaskan semangat Persekutuan Malaysia demi memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembinaan negara,” tambahnya lagi.


















Comments