Pas Residen pendatang asing ditukar nama kepada PSS tahun 2019: Menteri JPMPas Residen pendatang asing ditukar nama kepada PSS tahun 2019: Menteri JPM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pas Residen pendatang asing ditukar nama kepada PSS tahun 2019: Menteri JPM



24 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan penjenamaan semula Pas Residen yang dipersetujui pada 12 Mei 2015 bagi mengelakkan risiko pemalsuan dokumen pendatang asing di Sabah.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, ia diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) ketika itu.


“Pas Residen ini kemudianya telah ditukar nama kepada Pas Residen Sementara Sabah (PRESS) pada tahun 2016.


“Pada tahun 2019, PRESS telah ditukar nama kepada PSS dengan matlamat menggabungkan semua pemegang kad IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, kad Burung-burung oleh Jabatan Ketua Menteri dan kad Banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.


Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Isnin (22 November) di Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.


Dalam persoalannya, Madius meminta penjelasan sejauh mana pelaksanaan setiap cadangan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah terutama cadangan menggantikan Kad Pengenalan baru yang bercirikan digital.


Menjawab persoalan itu, Abd Latiff memaklumkan JKPWAS ditubuhkan pada 3 Disember 2014 seiring dengan cadangan pertama laporan RCI.


“Penyelesaian bagi isu pengurusan warga asing di Sabah memerlukan kerjasama dan komitmen antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.


“Kerjasama ini melibatkan isu penyeragaman dokumen, kewarganegaraan dan rundingan dengan Perwakilan Asing seperti Filipina dan Indonesia.


“Selain itu, political will serta komitmen yang tinggi daripada semua pihak termasuk daripada pemimpin politik, ketua-ketua masyarakat dan kaum adalah perlu dalam mencari persamaan dan kesepakatan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.


Ujarnya, dalam hal ini, hasil libat urus dan penelitian oleh Kerajaan Negeri Sabah ini akan dibincangkan semula dalam JKPWAS-Teknikal yang akan datang sebelum dibentangkan dalam JKPWAS-Induk untuk pengesahan.


“Selepas itu, JKPWAS-Induk akan mencadangkan mekanisme penyelesaian isu pengurusan warga asing di Sabah untuk persetujuan dan keputusan Sidang Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri,” jelas Abd Latiff.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page