PELANCARAN ADM2025, PENGGUNAAN SPEKTRUM, INDUSTRI TELEKOMUNIKASI ANTARA TUMPUAN ADGMIN1PELANCARAN ADM2025, PENGGUNAAN SPEKTRUM, INDUSTRI TELEKOMUNIKASI ANTARA TUMPUAN ADGMIN1
top of page
  • nabalunews

PELANCARAN ADM2025, PENGGUNAAN SPEKTRUM, INDUSTRI TELEKOMUNIKASI ANTARA TUMPUAN ADGMIN1


15 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Selain pelancaran Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025) yang menjadi tumpuan utama, penggunaan spektrum untuk komunikasi dan kegiatan industri telekomunikasi di Asia Tenggara turut menjadi perhatian apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN kali pertama (ADGMIN1) minggu depan.


Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Malaysia Datuk Seri Mohammad Mentek berkata mesyuarat dua hari bermula 21 Jan itu antara lain akan menjadi forum pertukaran pandangan dan dasar berkaitan penggunaan spektrum.


“Perkara ini perlu dibincangkan di peringkat ASEAN agar ia dapat digunakan dengan cekap dan mengurangkan gangguan antara frekuensi.


“Ini kerana spektrum melibatkan frekuensi radio mempunyai pelbagai guna termasuk penyiaran televisyen, radio, radar dan komunikasi satelit,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.


ADGSOM (Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Digital ASEAN) dan ADGMIN1 adalah mesyuarat peringkat dasar bagi sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di peringkat ASEAN yang diadakan bagi mendepani cabaran isu global melibatkan rentas sempadan di negara-negara ASEAN termasuk akses kepada rangkaian Internet.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dijadual mempengerusikan ADGMIN1 secara sesi tertutup menerusi telesidang.


Mohammad berkata impak COVID-19 telah mengubah cara kerja di luar ruang lingkup norma sebelum ini dengan keperluan kepada akses Internet di semua negara di rantau ini, yang juga terkesan dengan pandemik itu.


“Tidak dinafikan serangan pandemik yang melanda seluruh dunia telah membantu mempercepat usaha-usaha penerimagunaan digital dalam keadaan norma baharu,” katanya.


Mohammad berkata Malaysia diberi tanggungjawab menyediakan ADM2025, yang akan menjadi panduan bagi pembangunan Sektor Digital ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang.


ADM2025, katanya, adalah kesinambungan usaha dua pelan induk terdahulu iaitu Pelan Induk ICT ASEAN 2015 (AIM2015) dan Pelan Induk ICT ASEAN 2020 (AIM2020) dalam mendorong ASEAN ke arah ekonomi digital yang selamat, lestari dan transformatif selain membolehkan Komuniti ASEAN yang inovatif, inklusif dan bersepadu.


“Ini merupakan sesuatu yang bersejarah bagi Malaysia kerana kita yang sediakan Pelan Induk Digital ASEAN yang akan dijadikan panduan negara-negara ASEAN dalam menghadapi ekonomi digital dan sudah tentu juga dinantikan sebagai panduan untuk berhadapan dengan cabaran selepas COVID-19,” katanya.


Mohammad berkata ADGMIN1 juga diharap dapat merealisasikan pembangunan dasar yang menggalakkan penyertaan sektor swasta untuk bersama-sama mengembangkan infrastruktur dan perkhidmatan ICT berkualiti tinggi bagi meningkatkan daya saing ASEAN untuk mendukung matlamat komuniti ASEAN.


Ia termasuklah usaha-usaha mendukung transformasi digital bagi sektor sektor tradisional serta mewujudkan pasaran digital yang adil dan kompetitif.


“Ini juga termasuk usaha membangunkan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai contohnya usaha-usaha dalam memantapkan keselamatan siber seperti memastikan urus niaga secara digital adalah selamat.


“Dalam masa sama, mewujudkan warga digital yang cerdas contohnya yakin dalam melaksanakan transaksi secara atas talian,” katanya.


Selain menteri dan pegawai kanan dari negara anggota ASEAN, mesyuarat ini juga melibatkan penyertaan Rakan-rakan Dialog ASEAN iaitu Jepun, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan, India serta Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sama ada di peringkat menteri atau di peringkat pegawai kanan. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page