• nabalunews

PEMATUHAN TERHADAP SOP PENTING UNTUK KELANGSUNGAN LIGA-M



17 FEB 2021


KUALA LUMPUR: Pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipadang serius oleh semua pihak, bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setelah kerajaan memberikan kebenaran kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), untuk mengadakan Liga-M menerusi pendekatan kuarantin di kem atau rumah di bawah konsep gelembung sukan, komitmen semua pihak diperlukan bagi memastikan COVID-19 tidak menular, sepanjang saingan liga berlangsung.

Pemain Penang FC Abdul Latiff Suhaimi berkata SOP kali ini sedikit berbeza, namun beliau akan sedaya upaya mengikuti arahan yang ditetapkan, selain menyeru semua pihak ada kesedaran yang sama.


“Ikut sahaja SOP yang telah ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) jika sayangkan bola sepak kita, selain memastikan kita dapat melangsungkan semua perlawanan Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia musim ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan MFL.

Sementara itu, pemain pertahanan UiTM FC Afif Asyraf Mohamad Zabawi berasa SOP kali ini menuntut disiplin yang tinggi daripada pemain dan pasti memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan norma baharu berkenaan.

Namun, Afif Asyraf berkata apa yang mustahak adalah peluang yang telah diberikan oleh MKN untuk semua pasukan turun berlatih bermula semalam, dan beliau selaku pemain sudah tidak sabar untuk turun beraksi.


“Ini jelas satu norma baharu yang perlu dilalui, namun saya rasakan tiada masalah buat pemain-pemain bagi ikuti SOP ini sebaik mungkin. Peluang telah diberikan dan kami akan gunakan masa yang ada untuk pastikan pasukan bersedia hadapi Liga,” katanya.

Pemain Perak Amirul Azhan Aznan pula berpandangan, tempoh persiapan yang singkat bagi hadapi pembukaan Liga-M berbanding sebelum ini bukan satu masalah yang besar, asalkan pemain-pemain mampu ikuti program yang telah direncanakan jurulatih.

Liga musim ini dijadual bermula 5 Mac ini dengan perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah, di antara juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, menjadi aksi pembuka tirai. - Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com