Pemberian dos penggalak dipendekkan ke 3 bulan bagi Pfizer dan AZ– KhairyPemberian dos penggalak dipendekkan ke 3 bulan bagi Pfizer dan AZ– Khairy
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemberian dos penggalak dipendekkan ke 3 bulan bagi Pfizer dan AZ– Khairy



29 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PETALING JAYA: Pemberian dos penggalak bagi penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca kini dipendekkan ke tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini selepas menerima dos kedua vaksin primer, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.


Beliau berkata, langkah itu adalah sejajar dengan saranan badan Regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia yang kini mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima vaksin primer.


Menurut beliau data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.


“Bagaimanapun, bukti kukuh yang terkumpul tiga minggu lalu menunjukkan bahawa vaksin penggalak Covid-19 berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.


“Hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom telah menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan,” jelas beliau dalam satu sidang akhbar kelmarin.


Tambah Khairy, kerja teknikal juga telah menilai bukti sedia ada dan memberikan saranan baharu mengenai pemberian dos penggalak Covid-19.


“Semua warga emas berumur 60 tahun ke atas dan semua individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin (Pfizer, AZ dan CoronaVac) amat disyorkan untuk menerima vaksin penggalak mereka sekurang kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.


“Individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang diberikan keutamaan untuk menerima dos penggalak.


“Pemberian dos penggalak juga akan diberikan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas bermula pada Januari dan Februari tahun depan,” katanya.


Jelas beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan klinik kesihatan swasta bagi pemberian dos penggalak ini sama seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.

bottom of page