Pemotongan gaji menteri sebanyak 20% sebulan diteruskan - PM
- Wartawan Nabalu News
- Dec 13, 2023
- 1 min read

13 Disember 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus sebulan akan diteruskan seperti yang diumumkan sebelum ini.
Pengumuman ini dibuat susulan dengan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan lima menteri Baharu kelmarin.
"Pemotongan 20 peratus gaji diteruskan, melainkan Perdana Menteri tidak ada potongan, sebab (Perdana Menteri) tidak ada gaji," ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri.
Pada Disember tahun lalu, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan telah bersetuju untuk memotong gaji mereka sebanyak 20 peratus setiap bulan sebagai tanda keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Semalam, lima menteri baharu telah dilantik untuk memimpin beberapa kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan.
Mereka adalah Gobind Singh Deo yang akan mengendalikan Kementerian Digital, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Kementerian Perladangan dan Komoditi, Steven Sim di Kementerian Sumber Manusia, dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II.
Comments