top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Penambahan had dana Covid-19 antara perincian MoU Kerajaan, PH


14 Sept 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Butiran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam telah didedahkan kepada umum pada hari ini.


MoU itu meliputi enam bidang utama iaitu Pemerkasaan Pelan COVID- 19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 63 (MA63), dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.


Bagi Pemerkasaan Pelan COVID-19, antara perinciannya adalah Penambahan RM45 bilion had dana, menjadikan nilai keseluruhan RM110 bilion.


Selain itu, Majlis Pemulihan Negara terdiri daripada 50 peratus pakar-pakar daripada sektor awam dan swasta yang dilantik oleh Kerajaan sebagai penasihat dengan mana pihak Pembangkang boleh mengemukakan namanya.


Manakala, 50 peratus lagi terdiri daripada Ahli Parlimen PH (25 peratus) Ahli Parlimen Kerajaan (25 peratus).


Peruntukan tambahan turut disediakan bagi meningkatkan usaha menyaring kes COVID-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau "find, test, trace, isolate, support and vaccinate" (FTTIS + V).


Sebanyak RM10 bilion bantuan tunai akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021 untuk golongan B40 meliputi bantuan sasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan,


Dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).


Selain itu, pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin akan dipercepatkan.


Di bawah aspek Transformasi Pentadbiran, Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti dan/atau undang-undang yang berkenaan akan dibentang dan dilulus di Parlimen.


Tindakan untuk pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik akan dipercepatkan, manakala tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada tidak melebihi sepuluh tahun.


Bagi Kebebasan Institusi Kehakiman pula, badan kehakiman akan dipastikan agar sentiasa bebas dari sebarang campur tangan mana-mana pihak, manakala di bawah Perjanjian MA63 usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam perjanjian itu akan dikukuhkan.


Di bawah Pembaharuan Parlimen, RUU Perkhidmatan Parlimen akan dibentangkan dan diluluskan untuk memastikan bahawa Parlimen menjadi institusi bebas manakala jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diperkukuhkan, peruntukan bagi Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang sama rata, dan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang mengikut Perkara 82(1) Peraturan Mesyuarat.


Manakala, pindaan-pindaan yang perlu dilaksanakan kepada Pindaan Peraturan Mesyuarat bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan lebih teratur dan berkesan, selain memastikan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih efektif dan menyeluruh.


Selain itu, di bawah Jawatankuasa Pemandu pula, sepuluh orang yang terdiri dari lima orang wakil Kerajaan dan lima orang wakil Pembangkang akan bertindak sebagai perunding, pemudah cara dan perwakilan sah bagi kedua-kedua pihak.


Jawatankuasa Pemandu ini hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu, atau mengikut jadual yang dipersetujui.


Memorandum persefahaman itu ditandatangani secara bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

bottom of page