Penangguhan sidang Parlimen "titik hitam" sejarah perundangan negara - ShafiePenangguhan sidang Parlimen "titik hitam" sejarah perundangan negara - Shafie
top of page
  • nabalunews

Penangguhan sidang Parlimen "titik hitam" sejarah perundangan negara - Shafie


Sumber: Twitter

2 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan dan Jacquline Ebit


KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan penangguhan mesyuarat khas Dewan Rakyat sebagai "titik hitam" dalam sejarah perundangan negara.


Ahli Parlimen Semporna itu berkata, ini kerana jika perundangan sesebuah negara tidak berfungsi, tidak mungkin kerajaan boleh berjalan seperti biasa.


"Tuanku sudah bertitah menyatakan persidangan Parlimen harus berlangsung seperti biasa. Speaker sudah janji bahawa soalan-soalan yang kita bangkitkan akan dijawab pada hari Isnin (hari ini).


"Tapi malangnya, hari Isnin persidangan dibatalkan, batal pasal apa? Pasal Covid. Pasal didapati ahli Parlimen terjangkit, kita sedar dan tahu ada ahli parlimen, kita tidak nafikan terjangkit.


"Yang terjangkit ahli parlimen itu tidak hadir sejak kita adakan persidangan. Misalnya presiden UMNO...mereka tidak hadir dalam persidangan," katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas di Dataran Merdeka hari ini, sebelum menyertai perarakan anggota Parlimen blok pembangkang menuju ke bangunan Parlimen.


Shafie berkata sekiranya terdapat pegawai-pegawai Parlimen yang dijangkiti Covid-19, mereka tidak perlu hadir ke sidang khas itu.


"Daripada segi perundangan, mereka tidak terikat untuk hadir ke Parlimen, tetapi sebagai ahli Parlimen, kami mempunyai hak untuk berada di Parlimen," katanya.


Menurutnya anggota-anggota Parlimen tidak sepatutnya dihalang untuk memasuki bangunan Parlimen bagi membincangkan ketetapan mengenai titah Agong.


"Ini dah pun jelas.. perkara yang kita perlu bincangkan dalam parlimen ialah, pertama keputusan yang dibuat tanpa perkenan Agong, kedua undang-undang negara kita tidak berfungsi seperti apa yang termaktub dalam perlembagaan, ketiganya kenapa tidak ada undi?


"Jelas sekali, Undang-undang darurat, Rang undang-undang Ordinan perlu dibahas dan diluluskan di Parlimen,” katanya.


Shafie berkata, pengasingan kuasa "mesti ada, eksekutif tidak boleh melampaui Parlimen".


"Parlimen yang menggubal undang-undang di negara ini. Eksekutif pula melaksanakan undang-undang," katanya.


Sumber: Twitter

Sementara itu Ahli Parlimen Tuaran yang juga Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, tindakan menangguhkan Parlimen adalah tidak wajar.


“Telah disebut ada tambahan kes positif tapi tidak disebut siapa orang ini? Adakah ini kakitangan Parlimen atau kakitangan kementerian?,” katanya.


Manakala Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tujuan mengadakan sidang parlimen ialah membincangkan pendekatan-pendekatan yang patut diambil oleh kerajaan untuk menangani wabak Covid.


Katanya, ini kerana setiap hari hampir 200 nyawa terkorban dan dalam seminggu seribu nyawa terkorban akibat Covid. Ia memberi kesan kepada ekonomi dan sosial.


“Mahu tidak mahu terpaksa menggunakan langkah politik untuk bincangkan perkara ini satu persatu. Bukan kerana kuasa tetapi kerana rakyat.


“Kita lakukan semua ini semata-mata untuk kepentingan rakyat, ini harus difahami oleh semua, tetapi seperti yang kita lihat tindakan untuk menyekat kami daripada hadir di Parlimen tak lain tak bukan adalah kerana mereka bimbang dicabar keabsahan kerajan Perikatan Nasional,” katanya.


Beliau berkata: “Kami menuntut hak kami sebagai ahli-ahli parlimen untuk dibenarkan bersidang secara rasmi di Dewan Rakyat, kerana itu sahajalah caranya untuk kita dapat menangani masalah yang kita hadapi pada hari ini”.

bottom of page