top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penerima STR kategori miskin tegar terima bantuan SARA hari ini, Sabah, Sarawak pada 7 Ogos


17 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar akan mendapat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM600 bagi membantu mereka menampung kos sara hidup mulai hari ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata SARA adalah inisiatif di bawah Payung Rahmah yang melibatkan peruntukan hampir RM130 juta untuk golongan kurang berkemampuan.


“Dengan sumbangan yang diberikan ini dapatlah menampung sebahagian daripada perbelanjaan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan kelmarin.


Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata SARA dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan Madani 2024.


Beliau berkata pemberian bantuan itu berdasarkan data e-Kasih dan akan diagihkan secara berbeza mengikut negeri.


Beliau berkata penerima SARA di enam negeri yang terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan menerima bantuan itu mulai hari ini iaitu sebelum PRN secara tanpa tunai.


Ini termasuk penerima di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan menerima RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan (Julai hingga Disember 2023) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.


Tambah beliau, penerima di Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula akan turut menerima kaedah bayaran sama, namun ia mula diagihkan pada 31 Julai ini.


Bagi penerima daripada negeri Sabah dan Sarawak, beliau berkata mereka akan mendapat bantuan itu mulai 7 Ogos depan dengan bayaran RM600 secara sekali gus melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.


Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.



Comments


bottom of page