top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 bakal terima bayaran sebelum Hari Raya Haji


13 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 kepada lapan juta penerima yang layak sebelum sambutan Hari Raya Haji, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, bayaran tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM2 bilion dan merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.


Selain itu, program Ebelia yang memberikan RM200 kepada belia berusia 18 hingga 21 tahun akan disalurkan sebelum minggu ketiga bulan ini.


"Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 yang melebihi RM2 bilion dengan bilangan penerima lapan juta akan disalurkan sebelum Hari Raya Haji, Insya-Allah.


"Ebelia sebanyak RM200 melibatkan belia berusia 18 hingga 21 tahun akan disalurkan sebelum minggu ketiga bulan ini," katanya.


Anwar berkata, sehingga Mei ini, sebanyak RM158 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan 2023 telah dibelanjakan oleh kerajaan.


Beliau menyenaraikan beberapa bantuan dan insentif yang telah diberikan oleh kerajaan termasuk bantuan khas kewangan kepada lebih satu juta pesara dan 1.3 juta penjawat awam, subsidi elektrik, subsidi produk petroleum, bantuan awal persekolahan dan pengecualian duti setem.


"Ini kapasiti terbaik suku tahun pertama dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. (Daripada jumlah tersebut) RM3 bilion bayaran fasa pertama dan kedua Sumbangan Tunai Rahmah yang memanfaatkan lapan juta orang penerima.


"Selain itu, bantuan khas kewangan kepada lebih satu juta pesara dan 1.3 juta penjawat awam, RM3 bilion untuk subsidi elektrik, RM11 bilion subsidi produk petroleum dan RM800 juta bantuan awal persekolahan.


"Pengecualian setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak lebih RM500,000, pengecualian duti setem 75 peratus untuk pembelian rumah berharga di antara RM500,000 hingga RM1 juta.


"Duti setem ke atas surat pindah milik harta tanah serta secara kasih sayang melibatkan ibu bapa anak, datuk, nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada satu juta pertama nilai harta tanah," ujar Anwar lagi.


Comments


bottom of page