Penganjur program dihadiri Muhyiddin, Najib dikenakan kompaunPenganjur program dihadiri Muhyiddin, Najib dikenakan kompaun
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penganjur program dihadiri Muhyiddin, Najib dikenakan kompaun


2 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengeluarkan dua tawaran kompaun bernilai RM20,000 dan RM4,000 kepada penganjur bagi program yang dihadiri oleh dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak.


KKM dalam satu kenyataan memaklumkan tawaran kompaun bernilai RM20,000.00 diberikan ke atas Perikatan Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Muhyiddin.


Manakala, satu lagi tawaran kompaun bernilai RM4,000.00 telah dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri oleh Najib.


"Kedua-dua kompaun tersebut dikeluarkan berikutan kegagalan pihak penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.


"Tawaran kompaun itu berdasarkan pemantauan dan siasatan yang dijalankan oleh pegawai diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] yang dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293/2021]," kata KKM.


KKM turut menjelaskan bahawa berkenaan isu tular di media sosial berkenaan kesalahan pelanggaran prosedut operasi standard (SOP) aktiviti PRN Melaka melibatkan Muhyiddin dan Najib, hasil siasatan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati bahawa tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan PRN Melaka sepanjang tempoh lawatan yang lebih berbentuk walkabout oleh dua individu tersebut.


"Pihak KKM dan JKN Melaka dengan kerjasama PDRM akan terus memantau pematuhan SOP khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka, sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.


"KKM tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar mana-mana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara (PPN)," kata kenyataan tersebut.

bottom of page