top of page

Penguatkuasaan RON95 diperluas kepada pemandu, pemilik kenderaan asing mulai 1 April

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

26 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan kesalahan bagi larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 diperluaskan kepada pemandu dan pemilik kenderaan berpendaftaran asing, berkuat kuasa 1 April ini.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan penguatkuasaan itu merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini meletakkan kesalahan hanya kepada pengusaha stesen minyak.


“Saya mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN untuk memuktamadkan persiapan akhir penguatkuasaan peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95.


“Berkuat kuasa 1 April, kesalahan pembelian dan penjualan petrol RON95 ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan berpendaftaran asing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Armizan berkata, penguatkuasaan itu susulan keputusan dibentangkan di Parlimen pada 29 Januari lalu yang menggariskan kedua-dua pihak iaitu stesen minyak dan pemilik atau pengguna kenderaan berpendaftaran asing boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya melakukan jual beli RON95 bersubsidi.


Menurutnya, bagi memastikan pematuhan seiring dengan peningkatan risiko ketirisan penyeludupan bahan api di kawasan sempadan susulan ketegangan konflik Asia Barat, agenda penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu).


Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua pihak khususnya pengusaha stesen minyak dan pengguna kenderaan motor asing mematuhi larangan berkenaan.


“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket mahupun pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api.


“Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.


Pada masa sama, Armizan menggesa orang ramai menyalurkan aduan serta sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan membabitkan jenayah penyeludupan bahan api subsidi.


Katanya, melalui kerjasama semua pihak seiring dengan agenda KITA GEMPUR, kepentingan rakyat akan terus dilindungi dan ketirisan dibanteras demi manfaat bersama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page