Penjawat awam dan pesara kerajaan bakal terima BKP 2023 pada 10 Ogos
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penjawat awam dan pesara kerajaan bakal terima BKP 2023 pada 10 Ogos


3 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sebanyak 1.3 juta penjawat awam dan lebih sejuta pesara kerajaan akan menerima Bantuan Khas Penghargaan (BKP) tahun 2023 pada 10 Ogos ini, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).


JPA berkata, bayaran sebanyak RM300 akan diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana Gred 56 dan ke bawah, termasuk pegawai dan lantikan kontrak.


"Penerima BKP turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta tidak berpencen yang akan menerima sebanyak RM200," kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Zulkapli Mohamed dalam surat edaran yang dikongsi di Facebook.


Beliau berkata, bayaran BKP bagi penjawat awam ini layak diberikan kepada mereka yang masih berkhidmat pada 10 Ogos ini yang merupakan pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (COS) selain pegawai yang bercuti bergaji penuh, bercuti separuh gaji dan bercuti tanpa gaji.


Bayaran BKP bagi pesara kerajaan termasuk yang bersara selepas mencapai opsyen umur persaraan atau bersara atas sebab kesihatan, akan dilakukan oleh JPA manakala veteren berpencen dan tidak berpencen dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).


"Veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap, sementara serta COS dan masih berkhidmat pada 10 Ogos, layak dibayar RM300 dengan bayaran RM200 oleh JPA atau JHEV dan baki RM100 dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat," katanya.


Tambah beliau, pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 10 Ogos tahun ini juga layak diberi BKP RM300.


Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa bayaran BKP 2023 tidak layak diberikan kepada pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku, dipinjam atau ditukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama atau Gred Khas.


Beliau juga berkata, pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib buang kerja atau turun pangkat, ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam serta meletak jawatan dalam tempoh 1 Jan hingga 10 Ogos tahun ini serta pegawai berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan juga tidak layak untuk menerima BKP.


Selain itu, beliau berkata, penangguhan pemberian BKP 2023 akan dikenakan kepada pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBTT).


"Pegawai hanya layak dibayar BKP setelah dibebaskan daripada pertuduhan tatatertib atau dikenakan hukuman selain buang kerja atau diturunkan pangkat oleh PBTT yang berkenaan dan ia akan dibayar pada 10 Ogos juga oleh jabatan di mana pegawai berkhidmat pada tarikh pembayaran," katanya.


BKP 2023 telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada Khamis lepas.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page