PENUBUHAN JAWATANKUASA BAHARU PEMANGKIN PEMBANGUNAN USAHAWAN NASIONAL - MEDACPENUBUHAN JAWATANKUASA BAHARU PEMANGKIN PEMBANGUNAN USAHAWAN NASIONAL - MEDAC
top of page
  • nabalunews

PENUBUHAN JAWATANKUASA BAHARU PEMANGKIN PEMBANGUNAN USAHAWAN NASIONAL - MEDAC


Datuk Seri Dr Wan Junaidi

9 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yakin penubuhan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) akan menjadi pemangkin kepada pencapaian aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan unggul menjelang 2030.


Dalam kenyataan hari ini, menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata majlis itu akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif di peringkat negeri dan Persekutuan agar selaras dengan dasar dan perancangan sosio-ekonomi semasa kerajaan.


Katanya MPKN bersedia mendorong pengembangan dan pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sambil bertindak sebagai platform perhubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan di semua peringkat.

“MPKN juga diharapkan dapat memainkan peranan penting dalam mengkoordinasikan dasar dan kemajuan keusahawanan negara dan akan menetapkan ruang lingkup kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta mengesyorkan inisiatif dan langkah strategik bersepadu dalam menangani isu, cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh usahawan dari semua peringkat,” katanya.


MPKN juga akan menjadi platform kepada MEDAC untuk membentuk kerjasama kolektif dengan semua pihak berkepentingan supaya pelaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan dapat melahirkan usahawan tempatan yang berdaya saing dan berjaya dalam ekonomi yang adil, saksama dan inklusif, katanya.


Wan Junaidi berkata MPKN akan membantu kementerian untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai perkembangan terkini kemajuan usahawan dan maklumat akar umbi yang relevan serta data tidak rasmi mengenai usahawan yang berjumlah lebih sejuta orang.


“Maklumat dan data ini akan membantu MEDAC membuat perancangan yang lebih baik dan intervensi yang berkesan yang akan memenuhi keperluan sebenar usahawan serta untuk mengelak pertindihan bantuan antara kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.


Beliau berkata pada 2021, MEDAC akan melaksanakan pelbagai program dengan jumlah peruntukan RM3.5 bilion melalui pendekatan 5E - Enculture, Enable, Empower, Energize and Engage.

Wan Junaidi mempengerusikan mesyuarat pertama MPKN yang diadakan secara maya hari ini, dengan keanggotaan termasuk menteri dan setiausaha tetap kementerian dari Sabah dan Sarawak, serta kementerian yang berkaitan, agensi kerajaan Persekutuan serta anggota dewan negeri yang bertanggungjawab untuk pembangunan keusahawanan.


“Mesyuarat itu membincangkan mengenai kerjasama strategik antara MEDAC dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan Perlis. Kerjasama itu menumpukan pengukuhan program sedia ada untuk memajukan usahawan serta PMKS di negeri-negeri tersebut.


"Di samping itu, MEDAC akan mengkaji kaedah dan inisiatif yang sesuai untuk membantu usahawan di Sabah dan Sarawak, mempelbagaikan produk dan perkhidmatan tempatan, meningkatkan infrastruktur semasa, dan meningkatkan produktiviti mereka," menurut kenyataan itu.


Sejajar dengan hasrat Malaysia untuk menjadi Negara Keusahawanan pada 2030, sektor PMKS diharapkan dapat menyumbang sehingga 50 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding 38.9 peratus pada 2019. - Bernama


bottom of page