top of page
  • nabalunews

Perlawanan paling mendebarkan saya pernah saksikan – Lee Chong Wei

5 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: “Antara ‘match’ (perlawanan) yang paling mendebarkan pernah saya saksikan”.


Demikian kata-kata bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei apabila beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan lawan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, untuk menang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 semalam.


“Gilalah perlawanan ini. Perlawanan yang patut kalah tapi gandingan lelaki sejati Melaka- Kuala Lumpur ini mengembalikan harapan untuk lencana di dada.


“Terima kasih Aaron-Wooi Yik. Andalah hero negara sekali lagi. Malaysia sekarang secara rasmi, di tangga pingat Olimpik Malaysia,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.


Chong Wei berkata demikian dalam hantaran di Instagram, semalam.


Sehubungan itu, Chong Wei yang pernah memenangi tiga pingat perak Olimpik berharap agar beregu negara itu dapat merekodkan pencapaian yang lebih baik pada masa hadapan.


“Salah satu kebangkitan semula terbaik yang pernah dilihat oleh rakyat Malaysia.


“Namun, saya tidak mahu anda menjadi seperti saya. Tiga pingat semua sama warna. Untuk medal seterusnya, saya doakan anda dapat warna lain,” ujarnya.


Terdahulu, beregu negara itu mempamerkan kebangkitan epik menakjubkan meskipun ketinggalan 16-20 pada set kedua sebelum meraih enam mata berturut-turut sekali gus mengheret perlawanan ke set ketiga dan penentuan.


Aaron-Wooi Yik menang 16-21, 22-20, 21-19 dalam tempoh 74 minit pada perlawanan penentuan pingat gangsa itu.


Pasangan negara itu turut menang pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Comments


bottom of page