- nabalunews
Pesawat A350 Malaysia Airlines beroperasi seperti biasa - Loke
4 September 2024
SEPANG: Pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines akan beroperasi seperti biasa dan tidak akan mengikuti langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan Cathay Pacific yang menggantung keseluruhan operasi 48 pesawat Airbus A350 miliknya kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Ini kerana katanya varian enjin yang digunakan Penerbangan Malaysia adalah berbeza daripada yang digunakan oleh pesawat A350 Cathay Pacific, laporan Bernama.
“Buat masa ini, tidak. Saya berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Penerbangan Malaysia pagi ini. Syarikat itu menghubungi Airbus dan ia telah menyemak (isu ini) dengan Airbus. Varian enjin yang digunakan di sini adalah berbeza daripada yang digunakan oleh A350 Cathay Pacific.
“Jika ada keperluan, tindakan lanjut boleh diambil. Tetapi setakat ini, ia boleh beroperasi seperti biasa,” katanya kepada media selepas melancarkan Capsule Transit MAX di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan bahawa syarikat penerbangan Cathay Pacific
telah membatalkan 24 penerbangan pergi balik selepas mengesan masalah enjin pada satu daripada pesawat berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Cathay Pacific berkata berlaku kegagalan komponen enjin melibatkan penerbangan CX383 dari Hong Kong ke Zurich pada 2 September lalu menyebabkan pesawat itu kembali semula ke Hong Kong beberapa minit selepas berlepas.
Sementara itu, Pengarah kejuruteraan Cathay Pacific Keith Brown dalam satu kenyataan berkata sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya secara proaktif memulakan pemeriksaan menyeluruh ke atas 48 pesawat A350 mereka.
“Setiap pesawat sedang menjalani pemeriksaan rapi. Selepas siap, pesawat yang dibenarkan beroperasi akan kembali beroperasi manakala pesawat yang dikenal pasti mempunyai masalah teknikal akan menjalani kerja pembaikan dan penyelenggaraan selanjutnya,” katanya.
Comments