Piala Uber: Malaysia akhiri kempen selepas tewas mengejut kepada Kanada 1-4Piala Uber: Malaysia akhiri kempen selepas tewas mengejut kepada Kanada 1-4
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Piala Uber: Malaysia akhiri kempen selepas tewas mengejut kepada Kanada 1-4


Eoo Qi Xuan - Foto Twitter BAM

12 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


DENMARK: Pasukan badminton wanita negara mengakhiri kempen Piala Uber selepas tewas mengejut kepada Kanada pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D di Ceres Arena, Aarhas awal pagi tadi.


Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia berada di kedudukan keempat dalam kumpulan D tanpa sebarang kemenangan.


Pemain utama perseorangan wanita negara, S. Kisona yang direhatkan semasa perlawanan menentang China kembali beraksi untuk perlawanan pertama namun gagal mempamerkan aksi cemerlang selepas tewas mengejut kepada pemain ranking ke-183 dunia Talia Ng.


Kisona, 23 memulakan aksi dengan agak seimbang dengan pemain lawan dengan kedudukan 6-6, tetapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan menyaksikan Talia mengumpul tujuh mata secara berterusan untuk memenangi set pertama 21-9.


Pada set kedua, Kisona mula beraksi cemerlang dengan mendahului Talia 5-1 di hadapan, namun Kisona gagal mempertahankan kedudukan tersebut akhirnya Talia memenangi set kedua dengan 21-14 membolehkan Kanada memperoleh mata pertama.


Gandingan Teoh Mei Xing-Yap Ling selaku wakil negara untuk perlawanan beregu pertama memberi sinar harapan buat negara apabila berjaya memenangi set pertama menentang pasangan beregu ranking ke-20 dunia Rachel Honderich-Kristen Tsai dengan mata 21-13.


Bagaimanapun wakil Kanada itu, bangkit untuk menang set kedua dan set ketiga, 21-10, 21-14 untuk memberi mata kedua buat Kanada.


Kanada semakin selesa di hadapan dengan 3-0, apabila wakil perseorangan kedua negara, Eoo Qi Xuan tewas 21-12, 21-13 kepada pemain ranking ke-185 Rachel Chan.


Mata tunggal negara hadir menerusi perlawanan beregu kedua, apabila gandingan Go Pei Kee-M Thinaah menang ke atas wakil Kanada Catherine Choi-Crystal Lai 21-12, 21-13.


Pada perlawanan terakhir, K. Letshanaa, 18, tidak dapat meneruskan momentum kemenangan negara apabila dikalahkan oleh Wen Yu Zhang 21-17,16-21, 21-12 dalam perlawanan yang mengambil masa 50 minit.


Meskipun tersingkir di peringkat kumpulan, Kejohanan Piala Uber ini pastinya memberikan pengalaman yang berharga buat pasukan muda negara yang meletakkan sasaran awal untuk sekurang-kurangnya ke aksi suku akhir.


Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan layak untuk ke peringkat kalah mati.


Berikutan pengakhiran kempen skuad Piala Uber negara malam tadi, skuad lelaki negara akan memulakan kempen Piala Thomas berdepan Kanada pada Rabu ini (1 pagi waktu Malaysia).

bottom of page