top of page

PKP: INDUSTRI PELANCONGAN HARAPKAN BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN DEMI KELANGSUNGAN PERNIAGAAN

nabalunews

12 JAN 2021


GEORGE TOWN: Pemain industri pelancongan, khususnya perhotelan, berharap kerajaan akan memberikan bantuan kewangan yang sewajarnya kepada mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua yang akan berkuat kuasa esok.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Khoo Boo Lim berkata ini kerana sektor itu yang baru sahaja menunjukkan pemulihan akan kembali terjejas.

Semasa fasa pemulihan tahun lepas, banyak hotel mencatat prestasi yang memberangsangkan dengan kadar penginapan masing-masing meningkat seiring pertambahan jumlah pelancong domestik, katanya.

Malah katanya sesetengah hotel mengambil semula pekerja mereka yang sebelum ini diberhentikan.

“Namun, pelaksanaan semula PKP bermula esok akan sekali lagi menjejaskan sektor ini, justeru kami berharap kerajaan persekutuan akan membantu meringankan beban kewangan kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berkuat kuasa 13 hingga 26 Jan ini.

Selain itu, kerajaan juga menguatkuasakan PKP Bersyarat di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, sementara Perlis dan Sarawak pula diletakkan di bawah PKP Pemulihan.

Mengulas lanjut, Khoo berkata beliau difahamkan hotel masih dibenarkan beroperasi namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan pihak berkuasa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) Ch’ng Huck Theng berkata semua pusat tarikan pelancongan di negeri tersebut akan ditutup sepanjang pelaksanaan PKP.


“Kami faham akan keperluan pelaksanaan PKP ini untuk mengawal dan mengekang penularan COVID-19 agar kembali terkawal, namun kami harap kerajaan persekutuan turut menimbang bantuan kewangan kepada pemain industri bagi meneruskan kelangsungan perniagaan sepanjang tempoh mencabar ini,” katanya yang mencadangkan pelaksanaan moratorium pinjaman atau pengecualian bayaran balik pinjaman.

Ch’ng juga tidak menolak kemungkinan sebahagian pemain industri itu terpaksa “gulung tikar” sekiranya PKP dilanjutkan untuk suatu tempoh yang lama. - Bernama

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page